21 Feb 2014

Azmin Masih Mempunyai DNA Umno


 
Ramai yang agak sinikal dengan dakwaan berhubung kemelut dalaman antara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim. Para penyokong parti itu sebelum ini menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘perang saraf’ Umno yang sengaja dilakukan.
 
Namun bagi penyokong Azmin dan Khalid, perkara itu bukan lagi isu rahsia, kerana ada di kalangan mereka sendiri yang turut memainkan peranan untuk menyerang dan londeh-melondeh antara satu sama lain.
 
Terdahulu, akhbar Suara Keadilan yang merupakan lidah rasmi kepada parti itu telah menyiarkan rencana yang menghentam Azmin secara terbuka. Artikel yang ditulis oleh Hishamuddin Rais itu telah disiarkan oleh akhbar tersebut pada keluaran 160, bertarikh 11 Februari 2014 di muka surat 22. Pada tarikh yang sama, artikel tersebut turut disiarkan oleh portal Malaysiakini yang juga merupakan media tidak rasmi kepada pembangkang.
 
Hishamudin di dalam artikel yang bertajuk ‘Khalid dan Azmin’ itu antara lainnya melabelkan Azmin sebagai pemimpin PKR yang mempunyai unsur dan ideologi Umno sehingga menyebabkan dia kurang disenangi oleh pimpinan parti termasuklah dari Pas dan DAP.
 
“Hanya PAS dan DAP sahaja yang dapat menjawab kenapa mereka merasa tidak yakin terhadap si Azmin… Dalam masa yang sama Azmin Ali yang tidak diyakini ini berpangkat Timbalan Presiden PKR.
 
“Mungkin PAS dan DAP juga menyedari dan terpengaruh apabila mengetahui bahawa sosok yang bernama Azmin Ali ini tidak diminati ramai dalam PKR sendiri. Azmin Ali disurahkan sebagai pemilik DNA - United Malays National Organisation. Azmin disurahkan sebagai sedang membawa budaya gerombolan ‘lanun Melayu’ ke dalam badan politik PKR”, dakwanya.
 
Hishamudin yang merupakan antara penyokong kuat Anwar itu turut mengatakan, disebabkan Azmin membawa DNA barah, dia adalah antara punca berlakunya masalah di Selangor dan PKNS sehingga MEMAKSA campur tangan Anwar.
 
“Dalam masa yang sama kisah Azmin dan duit ini masuk akal juga. Untuk pengundi di Gombak atau di Seri Setia – mereka tertanya-tanya kenapa si Azmin ini gila-gila sangat nak jadi MB Selangor? Kenapa begitu gian hendak jadi MB? Tidak cukupkan menjadi Adun dan YB Parlimen Gombak? Kalau ingin membantu rakyat, kalau mahu menolong warga miskin apakah perlu menjadi MB? Soalan-soalan ini telah berdengung di semua kepala yang berfikir. Macam ada Cukong di sebalik Gombak.“Mari kita lihat perangai Azmin semenjak selesai PRU13 dahulu. Apabila rakyat bangun membantah penipuan PRU13 – Si Azmin Ali ini baling sepana. Azmin memberi ingatan agar orang ramai TIDAK dibawa ke jalan raya. Twiter Azmin yang mempertikaikan langkah turun ke jalan raya untuk membantah penipuan PRU13. Isi Twiter si Azmin ini jelas bersifat ‘sabotaj’. Ini ciri dan watak DNA United Malays National Organisation” dakwa Hishamudin lagi.
 
Disebabkan artikel tersebut disiarkan dalam akbar terbitan Suara Keadilan, para penyokong PKR khusus ‘orang-orang’ Azmin mula bising dan mempertikaikan tindakan tersebut. Sehinggakan ada yang mendakwa ia adalah merupakan permainan politik murahan dan kotor serta sebahagian dari usaha Anwar dan Wan Azizah untuk‘membunuh’ karier politik Azmin.
 
Mungkin bagi mengelakkan serangan balas dari kumpulan Azmin yang mungkin akan melakukan sabotaj terhadap Anwar di pilihan raya kecil Kajang, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil segera membuat kenyataan bagi menafikan dakwaan tersebut.
 
Menurutnya PKR tidak terlibat dalam penyiaran artikel tersebut dan keputusan untuk menyiarkannya di dalam akhbar rasmi parti adalah merupakan keputusan pihak editorial Suara Keadilan. Namun, Fahmi mengakui isu tersebut ada dibincangkan kerana wujudnya bantahan daripada beberapa pemimpin yang dikaitkan nama dalam artikel tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan