4 Nov 2013

PRK Sg. Limau:  Mampukah Sungai Limau Berubah?


Hari ini, para pengundi di DUN Sungai Limau, Yan, Kedah turun membuang undi bagi menentukan 'nasib' kawasan mereka.  Bagaikan tersekat dalam ruang masa di tahun 80-an, kawasan ini tidak pernah mengalami perubahan, jauh sekali kemajuan.  Apabila kawasan lain di sekitar mengalami perubahan dari segi pembangunan, kawasan ini terus terbiar seolah-olah tidak dipedulikan. 
 
Oleh kerana kawasan ini menjadi kubu kuat PAS maka kerajaan Kedah pimpinan UMNO sebelum ini, tidak mampu menghulurkan bantuan yang berkesan. Memandangkan PAS terus menang di Sg. Limau, maka kita melihat itu sebagai isyarat yang penduduk di situ sememangnya enggan berubah. 
 
Ini terbukti apabila PAS berjaya merampas kepimpinan Kedah dan Menteri Besar yang dilantik  merupakan ADUN Sungai Limau sendiri dan Sg. Limau masih lagi tidak mengalami apa-apa perubahan.  Begitupun, sentimen menyokong PAS terus kuat dan perasaan sayang para penduduk terhadap arwah bekas Menteri Besar dari PAS itu juga cukup terasa. 
 
Justeru, kita tertanya-tanya, apakah penduduk Sungai Limau sememangnya enggan berubah dan ingin terus hidup dalam keadaan terkebelakang, jauh dari arus kemodenan dan kecanggihan dunia?  Mungkinkan penduduk di sini benar-benar enggan memajukan diri?
 
Bukankah Islam menuntut umatnya agar memajukan diri?  Bukankah penduduk Sungai Limau amat gemar melaungkan Islam? 
 
Umat Islam telah diingatkan bahawa kemiskinan akan mendekatkan kita kepada kekufuran.  Untuk keluar dari kemiskinan, kita wajib menimba ilmu dan berusaha.  Kita tidak boleh hanya duduk menerima nasib sendiri tanpa sedikit pun 'berjuang' untuk meningkatkan taraf hidup kita.   Hanya melalui ilmu maka pemikiran kita akan lebih terbuka dan mampu menganalisa fakta dan angka agar tidak mudah diperdaya oleh sesiapa.  Hanya melalui ilmu maka kita akan menjadi ummah yang kuat. 
 
Justeru, bukankah itu yang penduduk Sungai Limau inginkan?  Iaitu untuk menjadi sebahagian dari ummah yang kuat? 
 
Kita percaya setiap yang mengaku Islam pasti mempunyai impian untuk melihat kekuatan ummah.  Kita mungkin tidak mampu mengubah pemikiran atau membantu umat Islam di negara lain atau di negeri lain untuk mencapai impian itu tetapi, kita boleh saja memulakan dengan diri sendiri. 
 
Pilihanraya Kecil Sg. Limau ini adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan itu.  Ia adalah langkah pertama untuk membawa keluar Sg. Limau keluar dari kemunduran.  Melalui PRK ini, Sg. Limau mampu berubah dan menjadi kawasan yang rancak dengan aktiviti serta mungkin juga cemerlang dari segi ekonomi.  Ini tidak mustahil jika melihat dari perancangan-perancangan bagi kawasan ini yang telah digariskan oleh arwah Menteri Besar dan turut dipersetujui oleh Menteri Besar Kedah sekarang ini.
 
Siapa tahu bakat dan kebolehan yang mungkin ada di kalangan anak-anak Sg. Limau jika mereka tidak didedahkan kepada arus kemodenan dunia.  Siapa tahu akan potensi yang ada di kalangan penduduk di situ sekiranya tidak pernah berpeluang menyerlahkannya. 
 
Bakat, kebolehan, potensi dan peluang adalah kurniaan Allah SWT dan ia perlu diteroka dan dipupuk agar dapat digunakan bagi menfaat seluruh manusia.  Ini tidak akan dapat dilakukan jika Sg. Limau terus di takuk lama, di mana pemikiran penduduknya hanya dipenuhi dengan politik PAS-UMNO manakala sekolah-sekolah agama terus terbiar dan tidak mampu merealisasikan ajaran AlQuran seperti yang diangan-angankan. 
 
Fikirkanlah, sampai bila Sungai Limau harus begini? 

--
Sent from my Android phone with K-9 Mail. Please excuse my brevity.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan