13 Nov 2013

GLC Perlu Main Peranan Untuk Bantu Akhbar Bahasa Melayu


Seperti ada sesuatu yang tidak kena, apabila banyak GLC (Syarikat Milik Kerajaan / Goverment Link Company) mengambil pendirian untuk tidak meletakkan iklan mereka dalam akhbar-akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times.
 
Malah Perdana Menteri sebelum ini juga pernah memberikan teguran kepada semua agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terutama milik bumiputera agar mengiklankan lebih banyak dengan akhbar-akhbar di bawah Kumpulan Utusan dan arus perdana berbahasa Melayu.
 
Menurut statistik yang diperoleh dianggarkan hanya 3.7 peratus sahaja nilai iklan yang diberikan oleh 35 syarikat GLC utama kepada akhbar-akhbar berbahasa Melayu. Sedangkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu khususnya Utusan Malaysia dan Berita Harian banyak membantu kerajaan dalam memperjuangkan agenda bumiputera.
 
Berdasarkan kajian terbaharu AmResearch, perbelanjaan pengiklanan (adex) untuk akhbar berbahasa Melayu merosot 1.8 peratus sehingga September lalu, walaupun adex industri mencatat pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus. Menurut RHB Research pula, bagi September sahaja, adex akhbar berbahasa Melayu jatuh 26 peratus kepada RM116 juta berbanding RM154 juta untuk tempoh sama tahun lalu.
 
Ini berbeza dengan akhbar Cina dan Inggeris yang masing-masing meningkat 8.9 peratus dan 7.2 peratus.
 
Maka amatlah wajar untuk syarikat-syarikat GLC menyokong akhbar-akhbar tersebut bagi meneruskan perjuangan untuk menjayakan lagi Dasar Pemerkasaan Ekonomi khususnya untuk orang Melayu dan Bumiputera. Malah sekiranya kita rujuk petunjuk prestasi utama (KPI) kepimpinan GLC adalah untuk memastikan pencapaian ekonomi bumiputera meningkat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan baharu pada setiap tahun.
 
Adalah agak malang jika GLC tidak membantu memartabatkan pengiklanan dalam akhbar Melayu, sedangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sering melaungkan usaha  untuk memperkasa ekonomi bumiputera namun ia seolah-olah langsung tidak difahami dan ditaati oleh syarikat GLC.
 
Ramai peneraju GLC seperti sudah hilang jati diri dan lupa hakikat kewujudan GLC itu sendiri. Mereka menyerahkan penentuan iklan misalnya kepada pihak industri terutama agensi yang banyak dikawal oleh ekspatriat, golongan rasis dan liberal yang tidak bertunjangkan perlembagaan.
 
Alasan yang selalu diberi oleh pihak industri adalah atas pertimbangan komersial semata-mata, yang sebenarnya terdedah kepada manipulasi. Persoalannya, bagaimana kita mahu menyandarkan masa depan kedaulatan Bahasa Kebangsaan kepada ekspatriat dan golongan tersebut?
 
Dalam satu sesi perbincangan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mempersoalkan beberapa bank dan syarikat telekomunikasi di bawah GLC yang kurang mengiklankan produk mereka dalam akhbar Bahasa Kebangsaan.
 
Antara nama yang disentuh adalah Celcom, CIMB dan Petronas. CIMB misalnya, walaupun majoriti pengguna adalah Melayu tetapi lebih ghairah mengiklan untuk akhbar Inggeris dari bahasa ibunda.
 
Sedangkan sekiranya difikirkan secara rasional, pengiklanan adalah merupakan kaedah serampang dua mata dan merupakan tanggungjawab mereka sebagai warga negara kerana Perlembagaan negara meletakkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan untuk semua rakyat. Malah dari segi logiknya bahasa kebangsaan adalah bahasa yang digunakan sebagai bahasa penyatuan untuk semua kaum di negara ini.
 
Sebelum ini, beberapa NGO, golongan akademik dan orang perorangan pernah mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan Dasar Pengiklanan Negara (DPN) yang bermatlamat untuk mengawal industri iklan, menangani lambakan iklan asing dan mendaulatkan bahasa kebangsaan.
 
Selain itu satu garis panduan khusus juga perlu ditetapkan melalui DPN agar mewajibkan 60 peratus iklan semua syarikat GLC diberikan kepada akhbar berbahasa Melayu khususnya Utusan Melayu.
 
Ini kerana, sekiranya akhbar-akhbar berbahasa Melayu terkubur, tiadalah lagi pihak yang berani mempertahan Perlembagaan dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera. Sekaligus menyebabkan semakin ramai anak-anak muda hilang jati dirinya.  

--
Sent from my Android phone with K-9 Mail. Please excuse my brevity.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan