Kapal Selam: Siapa Biaya SUARAM
Untuk Menipu?
Pembelian aset tentera tidak pernah lagi dipolitikkan sebegini rupa
sepertimana yang dilakukan oleh SUARAM terhadap kapal selam Scorpene. Kes kapal selam ini ‘timbul’ lagi di Bangkok
baru-baru ini bila SUARAM membuat sidang media untuk memberi taklimat tentang
perkembangan siasatan oleh pihak berkuasa di Perancis. Mengakui bahawa ia berbunyi seperti filem
aksi risikan Hollywood, SUARAM terus mendahului mahkamah menuduh kerajaan korup
dan Perdana Menteri sebagai pembunuh!
Menurut hakim, siasatan ini tidak akan selesai dalam masa 2-3
tahun. Jadi, kenapakah SUARAM tidak
boleh duduk diam sementara menunggu keputusan?
Kenapa mesti ada kenyataan akhbar?
Kenapa perlukan publisiti? Kenapa
sekarang?
Bercakap mengenai kes ini, seseorang itu harus mempunyai sedikit
pengetahuan mengenai latarbelakang SUARAM.
Dengan Pilihanraya Umum semakin hampir, motif SUARAM ‘membangkitkan
orang mati’ adalah jelas.
SUARAM adalah NGO yang amat kritikal terhadap kerajaan. Ini kita faham kerana ia ditubuhkan oleh
keluarga bekas tahanan ISA. Dalam
ertikata lain, ia ditubuhkan berasaskan dendam kesumat serta hidup atas
keinginan untuk membalas dendam terhadap kerajaan. Dan bekerjasama dengan pembangkang adalah
cara terbaik untuk melakukannya.
Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, tanpa agenda jahat atau
tersembunyi, seharusnya SUARAM membiarkan saja kes ini berlangsung dengan
‘aman’ di mahkamah.
Tetapi SUARAM tidak boleh duduk diam.
Mereka perlu merosakkan imej kerajaan dan mencemarkan nama baik Perdana
Menteri untuk membantu pembangkang mendapat sedikit keuntungan politik sehingga
pilihanraya. Jika penipuan mereka
terdedah selepas pilihanraya, biarkanlah. Tetapi buat masa ini, SUARAM berazam
untuk terus menipu kononnya PM dan isteri telah membunuh Altantuya, seorang
model dari Mongolia yang didakwa sebagai seorang penterjemah dan dibunuh atas
alasan meminta bahagiannya dalam komisen pembelian kapal selam Scorpene.
Tetapi penipuan mereka telah pun terdedah. Skrip asal filem risikan Hollywood telah
dimusnahkan oleh penulisnya sendiri iaitu Raja Petra Kamaruddin (RPK). Di dalam satu wawancara, RPK telah
mendedahkan bagaimana dia mereka-reka keseluruhan cerita berkenaan ‘dengar
cakap’ setelah diarahkan oleh orang-orang tertentu dalam pembangkang.
Skrip ini juga terlalu dramatik sehingga tidak selari dengan fakta. Fakta kekal merekodkan bahawa pada masa
kejadian, PM sedang menghadiri program berbuka puasa di Kedah dan isterinya,
Datin Seri Rosmah menghadiri program yang sama bersama anak-anak yatim di
Bangunan Tabung Haji, Kuala Lumpur.
Terdapat video, gambar dan juga alibi yang mengesahkan bahawa Datin Seri
Rosmah tidak berada di tempat kejadian sepertimana yang ditulis dalam skrip
asal RPK.
PM tidak mengenali Altantuya, dan itu juga adalah fakta. Gambar superimpose lemah yang disebarkan oleh
Tian Chua, Naib Presiden PKR yang menunjukkan mereka bersama adalah dengan
sendirinya bukti bahawa pembangkang adalah penipu. Bagi menegaskan bahawa beliau tidak mengenali
wanita itu, PM lebih dari bersedia untuk bersumpah atas nama Allah mengikut
hukum Islam, dan beliau melakukannya bukan sekali, tetapi 4 kali. Tiada seorang Islam yang waras yang berani
bersumpah atas nama Allah jika mereka benar-benar bersalah.
Mahkamah Malaysia bukan sahaja tidak dapat menjumpai apa-apa untuk
mengaitkan PM atau isteri dengan pembunuhan itu tetapi juga tidak menyebut
langsung mengenai komisen atau kewujudan seorang penterjemah dalam
perbicaraan. Ini kerana, Altantuya bukan
seorang penterjemah dan tiada penterjemah diperlukan dalam transaksi Scorpene
memandangkan semua perbualan dan dokumentasi dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Justeru, melihat dari semua ini, tidak syak lagi bahawa Scorpene dan
nyawa Altantuya hanyalah permainan politik bagi pembangkang…dan juga SUARAM.
SUARAM menyatakan bahawa mereka telah mendapat capaian penuh kepada 153
kertas siasatan dari pejabat pendakwaraya dan kini memberi taklimat secara
terpilih dari senarai tersebut. Jelas
bahawa SUARAM cuba membayangkan pertubuhannya sebagai bebas dan punya kuasa
untuk menentukan keadilan. Di mana,
dalam kes ini, SUARAM hanyalah plaintif atau pengadu yang tiada hak untuk
membuat keputusan sama ada korupsi berlaku atau tidak, apa lagi mengaitkannya
dengan pembunuhan.
Walaubagaimanapun, SUARAM mengakui bahawa mereka tidak dapat membawa
keluar bukti dari Perancis dan taklimat tersebut adalah berdasarkan kata-kata
mereka semata-mata.
Kita telah mendengar kata-kata SUARAM dan semakin banyak kita dengar,
semakin pelik bunyinya. Bagaimana kita
memegang kata-kata keluarga orang-orang yang ditangkap di bawah ISA – iaitu
orang-orang yang berpotensi membahayakan keselamatan negara? Bagaimana kita hendak memegang kata-kata
manusia yang penuh dengan dendam kesumat?
Bagaimana kita HENDAK memegang kata-kata mereka yang telah terbukti
menipu rakyat Malaysia?
Dalam menghalusi motif SUARAM, kita harus bersetuju bahawa dendam sahaja
tidak akan menjana wang. Jadi, di mana
agaknya SUARAM mendapat wang untuk mengupah peguam Perancis yang mahal,
antaranya, Joseph Breham dan William Bourdon untuk mewakili mereka?. Apakah mereka dibayar mengikut jam
sepertimana kebanyakan peguam barat dan Eropah?
Ambil maklum bahawa peguam-peguam ini dibawa ke Malaysia dan Bangkok
untuk tujuan publisiti. Dan berapa ramai
pula pegawai SUARAM di Perancis yang memantau kes ini? dan untuk berapa
lama? Siapakah yang menanggung kos
penginapan, pengangkutan, perjalanan, makan-minum, dokumentasi dan
segala-galanya?...dan berapakah jumlahnya?
Kita tahu bahawa SUARAM adalah sebuah pertubuhan yang kecil, hampir
tidak dikenali langsung di kalangan rakyat biasa di Malaysia. Bagaimana mereka mampu membiayai semua
ini?
Penulis percaya, ramai yang akan bersetuju bahawa nampaknya SUARAMlah
yang perlu disiasat dan dibicarakan oleh rakyat yang inginkan kebenaran,
bukannya kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan