12 Dis 2013

Tidak Hadir Rayuan Kes Liwat 2: Anwar Memijak ‘Keadilan’


Proses rayuan pihak pendakwaan bagi kes liwat 2 yang melibatkan Anwar Ibrahim yang dijadualkan hari ini telah menyaksikan ketidakhadiran Anwar Ibrahim.  Alasan yang dikemukakan oleh peguam beliau ialah Ketua Pembangkang itu berada di Washington untuk menghadiri seminar. 
 
Pihak Pendakwa membangkitkan perkara ini dalam kamar sambil membuat bantahan ke atas kegagalan Anwar untuk hadir. Menurutnya, dalam sebarang perbicaraan jenayah, responden adalah wajib hadir. 
 
Tindakan Anwar mengambil ringan perbicaraan ke atas dirinya membuktikan bahawa beliau tidak pernah menghormati keadilan.  Sebagai seorang pemimpin yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar telah menunjukkan sikap paling tidak bertanggungjawab dan biadap terhadap undang-undang negara. 
 
Lebih biadap lagi apabila di masa yang sama Anwar memuatnaik gambarnya dengan pelajar universiti di Washington dalam keadaan santai seolah tiada apa-apa yang penting yang harus ditanganinya di tanah air.  Perlu diingatkan bahawa pada ketika yang sama, rakyat negara ini sedang berhadapan dengan bencana banjir paling buruk.  Sekurang-kurangnya, Anwar boleh menolak untuk hadir ke seminar atas alasan ingin membantu rakyat.  Namun, ini tidak berlaku. 
 
Anwar dilaporkan sedang menghadiri Seminar anjuran IIIT (International Institute of Islamic Thought) iaitu sebuah organsasi yang menggunakan nama Islam secara meragukan berdasarkan latarbelakang mereka yang menerajuinya.  IIIT berpengkalan di Herndon Virginia mempunyai hubungan  yang rapat dengan CIA.  Antara nama-nama besar di dalam IIIT adalah Youseff Nada yang juga merupakan antara pencetus Arab Spring yang menghancurkan dunia Islam.  Selain itu, kematian pengasas IIIT iaitu Ismail Faruqi, diselubungi skandal homoseksual dan pembunuhan yang mengejutkan.   IIIT juga mempunyai jaringan dengan organisasi Yahudi yang merancang pertukaran rejim di negara-negara sasaran Amerika. 
 
Oleh itu, kehadiran Anwar ke seminar IIIT sambil mengabaikan proses keadilan ke atas dirinya dan mangsa, iaitu Saiful Bukhari dalam kes liwat 2 amatlah tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia.  
 
Walaubagaimanapun, ada juga yang berpendapat bahawa Anwar memilih untuk tidak hadir ke mahkamah serta lari ke Washington bukan kerana biadap, tetapi sebenarnya kerana takut. 
 
Ini berdasarkan perkembangan terkini mengenai kenyataan Tan Sri Shafee Abdullah untuk mendedahkan hubungan Anwar dengan Datuk Mat Zain Ibrahim dan juga Datuk Ghani Patail, Peguam Negara.  Selama ini, rakyat Malaysia cukup musykil dengan keputusan mahkamah dan tindakan Peguam Negara dalam menangani kes-kes yang melibatkan Anwar Ibrahim di mana hampir semuanya memihak kepada Anwar dalam cara yang begitu 'misteri'. 
 
Justeru, kenyataan Tan Sri Shafee mengenai pendedahan yang mungkin dibuatnya menyebabkan seluruh rakyat teruja manakala Anwar pula resah gelisah. 
 
Apapun, yang penting untuk diberi perhatian di sini ialah fakta kes yang mana terdapat 'mangsa' yang sedang mencari keadilan.  Mangsa di dalam kes ini bukan Anwar, tetapi Saiful Bukhari.  Seperti semua mangsa-mangsa kes jenayah seksual, Saiful berhak mendapat keadilan.  Rayuan yang dikemukakan oleh pihaknya bukan bermotif politik tetapi sekadar mencari keadilan semata-mata. 
 
Atas dasar ini, sekurang-kurangnya, sebagai seorang manusia yang waras, Anwar seharusnya memahami bahawa beliau bukan berhadapan dengan seorang politikus, tetapi bekas pekerjanya sendiri.
 
Anwar boleh menuduh semua ini hanya konspirasi, tetapi sebagai seorang yang mengaku tidak bersalah, beliau harus berani berhadapan dengan mangsa di dalam mahkamah sebagai seorang lelaki sejati. 
 
Cerita-cerita bahawa mahkamah tidak adil tidak lagi laku pada hari ini kerana seluruh dunia telah menyaksikan bagaimana mahkamah yang sama telah melepaskan Anwar berkali-kali. 
 
Justeru, kenapa Anwar harus takut, mengelak dan cuba lari?

10 Dis 2013

Banjir Besar : Anwar Seronok Bercuti, Fuziah Bergaya Ala Model, Khalid Gagap Kata Ia Membazir


Umum mengetahui beberapa negeri telah dilaporkan terjejas teruk ekoran bencana banjir yang melanda. Antara negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor malah ekoran kenaikan air secara mendadak di beberapa tempat, beberapa jalan utama terpaksa ditutup, bekalan elektrik terpaksa dimatikan dan semua mangsa yang terlibat berpindah ke pusat pemindahan.
 
Namun di sebalik kesibukan itu, kelibat ketua pembangkang, Anwar Ibrahim langsung tidak kelihatan di kawasan yang terlibat dengan bencana. Sudahlah tidak menghulurkan sebarang bantuan, setidak-tidaknya hadir bagi memberikan sokongan moral.
 
Tambahan pula antara kawasan yang terjejas teruk ialah Kuantan, di mana majoriti pengundi di kawasan terbabit telah memberikan sokongan kepada calon PKR sekali gus memberikan mandat bagi mewakili mereka di dalam Parlimen.
 
Apabila disiasat, rupa-rupanya Anwar yang pernah berangan ingin menjadi Perdana Menteri itu sedang enak bercuti bersama keluarganya di London. Ia bukanlah merupakan satu fitnah atau sengaja diada-adakan, tetapi dimaklumkan sendiri oleh Anwar melalui akaun media sosialnya di Instagram.
 
Semalam, Anwar telah memuat-naik sekeping gambar yang memaparkan dia dan anaknya Ihsan sedang berada di dalam sebuah kereta api. Malah Anwar dengan bangganya mengatakan dia sedang dalam perjalanan ke Washington DC. Menarik bukan!!!
 
Inikah ciri-ciri bakal perdana menteri yang diinginkan oleh semua masyarakat? Ketika rakyat sedang dilanda musibah dia begitu seronok bercuti di luar negara. Sedangkan sebelum ini, ada di kalangan pemimpin pembangkang yang mendesak agar Perhimpunan Agung Umno dibatalkan, bagi membantu mangsa banjir.
 
Namun apabila diteliti semula, ia bukanlah satu perkara yang pelik, kerana ia adalah lumrah bagi pemimpin pakatan pembangkang. Contohnya apabila negeri Selangor di landa ribut beberapa tahun yang lalu, Menteri Besarnya, Abdul Khalid Ibrahim enggan turun padang bagi meninjau keadaan mangsa ribut kerana merasakan ia satu perbuatan yang membuang masa dan membazirkan wang.
 
"Saya ada wakil rakyat dan Exco yang mengendalikan bantuan untuk mangsa dan saya sentiasa berhubung dengan mereka. Jadi, tidak perlu saya turun padang kerana ia membazirkan masa saya.
 
"Jika saya datang melawat, saya terpaksa membawa bersama 15 hingga 20 orang saya dan ini akan melibatkan kos kewangan," katanya kepada pemberita ketika itu.
 
Menurutnya lagi, walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, ia tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.
 
Di dalam kejadian tersebut, dianggarkan hampir 1,000 keluarga dari beberapa kampung seperti Kampung Sungai Udang serta Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai dan Kampung Rantau Panjang di Kapar menjadi mangsa ribut yang memusnahkan kediaman dan harta benda mereka.
 
Berbalik kepada isu banjir besar yang sedang berlaku ketika ini, ketika puluhan ribu rakyat Kuantan terpaksa dihantar ke pusat-pusat pemindahan, ahli Parlimennya, Fuziah Salleh langsung tidak kelihatan.
 
Namun apabila ramai yang mula mempersoalkan peranannya sebagai wakil rakyat, baru-barulah kelihatan beberapa keping gambar yang dimuatkan di laman-laman media sosial, kononnya bagi membuktikan kehadirannya membantu mangsa. Para pencacai pakatan pembangkang, mungkin merasakan ianya sebagai cara untuk menangkis tuduhan masyarakat Kuantan yang hairan dengan 'kehilangan' Fuziah.
 
Tetapi, bak kata pepatah, "bangkai gajah, masakan dapat ditutup dengan sehelai daun pisang". Kebanyakan gambar-gambar yang dimuat naik lebih banyak memaparkan aksi Fuziah bergaya ala 'super model' berbanding membantu mangsa banjir. Ini kerana dia mungkin merasakan sebagai wakil rakyat, aktiviti bergambar dapat meringankan beban mangsa yang terlibat.
 
Nampaknya benarlah seperti kata Khalid Ibrahim, sesetengah ahli politik lebih suka 'bergaya' dengan cara begini. Jelasnya, perbuatan turun padang tidak akan memberi sebarang kesan terhadap moral mangsa ribut dan menganggap ia sebagai konsep yang tidak boleh diterima sama sekali.
 
"Orang yang berada dalam kecemasan bukan mahu sokongan moral, dia mahukan pertolongan. Namun, sesetengah ahli politik suka 'bergaya' dengan cara begini tetapi saya bukan orang seperti mereka," tegasnya.

--
Sent from my Android phone with K-9 Mail. Please excuse my brevity.

Isu Syiah : Mat Sabu Perlu Saman Ahli Pas Berbanding Zahid Hamid


Pendedahan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid mengenai isu Syiah yang melibatkan parti politik tertentu, telah menyebabkan segelintir mereka yang dikaitkan dengan fahaman sesat itu seperti cacing yang kepanasan.
 
Ekoran pendedahan tersebut, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata dia sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Zahid yang mendakwanya mengamalkan ajaran Syiah. Dia yang terkenal dengan panggilan manja 'Mat Sabu atau Abang Mat' itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkan Zahid cuba membuat tuduhan jahat.
 
"Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu... Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," katanya lagi.
 
Terdahulu, ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2013, Zahid mendedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai maklumat dan bukti berhubung kewujudan pemimpin Pas yang menyokong gerakan Syiah.
 
Malah Zahid turut menuntut keberanian serta komitmen politik daripada Pas agar menolak pemimpin terbabit malah turut melahirkan rasa hairan, bagaimana pengamal ajaran Syiah boleh diangkat sebagai pemimpin tertinggi parti itu.
 
Paling menarik apabila Pas, seolah-olah cuba 'cuci tangan' bagi mengelakkan isu Mat Sabu itu dikaitkan secara langsung dengan parti itu. Menurut Setiausaha Agung parti itu Mustafa Ali, dakwaan terhadap Mat Sabu adalah merupakan serangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti.
"Itu adalah serangan peribadi, Mat Sabu perlu buat sesuatu. "Kita tak akan masuk campur" katanya
 
Namun, apa yang menghairankan ialah, apabila diteliti ucapan yang disampaikan oleh Zahid itu, beliau langsung tidak menyentuh atau menyebut nama, mana-mana individu yang dikaitkan dengan fahaman Syiah itu. Yang menyebut nama Mat Sabu secara khusus adalah Mustafa Ali sendiri. Apakah ini bermaksud Pas memang telah lama menghidu dan mengetahui penglibatan Mat Sabu dengan Syiah?
 
Malah sekiranya dilihat daripada kenyataan Mat Sabu ketika kempen sebelum Muktamar Pas baru-baru ini, dia turut mengakui 'diserang' oleh ahli dan pengikut dengan cara yang paling kotor.
 
''Sepanjang 35 tahun saya berada dalam Pas iaitu sejak 1978, inilah kempen paling teruk pernah saya lihat.''
 
Ketika sesi wawancara bersama salah sebuah portal pembangkang sebelum ini, Mat Sabu menjelaskan pelbagai kempen 'kotor' telah dijalankan oleh ahli Pas termasuk dengan cara menyerang dan melabelkan pihak yang tidak dipersetujui dengan menjadikan Facebook, SMS dan blog sebagai medan utama.
 
''Untuk menjatuhkan seseorang pemimpin Pas, pelbagai label diberikan. Paling popular ialah Syiah dan yang kedua liberal,'' katanya.
 
Ini bermaksud, ahli dan penyokong Pas telah terlebih dahulu melabelkan Mat Sabu sebagai pemimpin berfahaman Syiah dan bukannya Umno. Patutlah Mustafa Ali siang-siang dah buat kenyataan cuci tangan, dan terus mengaitkan Mat Sabu dengan pendedahan Zahid itu.
 
Oleh itu sekiranya benar Mat Sabu ingin mengambil tindakan undang-undang, ada baiknya ia dilakukan terhadap 'musuh-musuhnya' di dalam Pas terlebih dahulu. Zahid ketika diminta mengulas lanjut mengenai isu ini berkata pihaknya mempunyai bukti bagi menyokong pendedahan yang dilakukan sebelum ini.
 
"Kementerian Dalam Negeri mempunyai semua bukti pembabitan pemimpin tertinggi Pas dalam gerakan Syiah dan menyedari fahaman ini jika tidak ditangani memberi ancaman kepada keselamatan negara. Lebih bahaya kerana Syiah sudah merebak ke dalam parti politik seperti Pas sedangkan Islam di Malaysia bertunjangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
 
Malah beliau turut menegaskan akan mengadakan satu sidang akhbar khas untuk menunjukkan bukti tersebut. Katanya, sidang akhbar itu akan menunjukkan pelbagai bukti termasuk bahan bergambar yang dapat membuktikan pemimpin pembangkang itu sebagai pengikut Syiah.
 
Kepada Mat Sabu, apa kata tunggu sidang akhbar tersebut sebelum meloncat tidak tentu fasal. Atau Mat Sabu sememangnya sedar, tembelang dan pendekatan 'taqiyyah' (berpura-pura) telah mula terbongkar dan tidak mampu untuk diselindungkan lagi.

--
Sent from my Android phone with K-9 Mail. Please excuse my brevity.

9 Dis 2013

Islam Agama Islam Persekutuan Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah


Kerajaan bersetuju untuk membawa usul bagi mengubah perlembagaan negara dengan menambah perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bagi membendung masalah syiah yang dilihat semakin berkembang di negara ini. Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
 
"Apakah yang boleh kita jadikan sebagai panduan selepas Perhimpunan Agung UMNO ke-67 ini dengan jelas menyatakan menyokon teguh kesungguhan kerajaan meninggikan syariat Islam di negara ini serta-merta.
 
"Dalam hal ini, kalau ada pihak tidak menerima hakikat, saya setuju dengan seorang perwakilan kalau buat baik, tak dapat diterima. Tetapi percayalah, kita tak akan lemah semangat kerana Umno berada di atas landasan yang tepat, landasan ASWJ.
 
"Oleh itu, saya nyatakan, Islam di negara ini adalah Islam agama persekutuan, dan berkefahaman ASWJ," katanya.
 
Usul tersebut sebelum ini telah dibangkitkan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun untuk mentakrifkan Islam sebagai agama rasmi negara yang diperincikan hanya kepada pegangan ASWJ. Cadangan itu dibuat ketika Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno yang berlangsung pada Selasa lalu.
 
Selain daripada itu, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang turut membentangkan usul yang sama unuk meminta Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan Islam sebagai Agama Persekutuan ditakrifkan kepada ASWJ.
 
Wakilnya, Datuk Shabudin Yahaya berkata, langkah itu perlu kerana Islam bertunjangkan ASWJ mampu menjadi benteng kukuh daripada sebarang usaha penyelewengan terutama oleh mana-mana ajaran sesat.
 
Beliau berkata, usaha tersebut akan melibatkan pindaan ke atas fasal tiga Perlembagaan Persekutuan.
 
''Kita mahu Islam yang bertunjangkan kepada ASWJ dicatatkan sebagai satu kandungan rasmi di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita mahu memastikan tiada lagi pengikut-pengikut ajaran sesat dengan mudah mereka mengaku Islam.,'' katanya.
 
Manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika diminta mengulas mengenainya berkata akan membawa usul untuk memasukkan perkataan Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai memperincikan takrifan Islam sebagai agama persekutuan negara.
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul itu akan dibawa kepada kerajaan untuk dibincangkan bagi menghalang fahaman lain termasuk Syiah daripada berkembang di negara ini.
 
Ini adalah untuk memastikan agama rasmi negara adalah berasaskan ASWJ dan bagi mengelakkan kefahaman lain dikembangkan di negara ini," katanya.
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini, mengeluarkan statistik yang menganggarkan hampir 300 ratus ribu rakyat di negara ini yang beragama Islam adalah merupakan pengikut fahaman Syiah.
 
Ajaran Syiah mula memasuki Malaysia sekitar tahun 80an selepas berlakunya revolusi Iran pada tahun 1978/79.  Pada tahun 1984, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.
 
Namun pada tahun 1996, disebabkan oleh penularan ajaran Syiah yang semakin berleluasa di negara ini, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
 
Kesimpulannya pengumuman yang dibuat oleh Presiden Umno itu membuktikan bahawa parti itu begitu berani dan serius untuk membendung ajaran sesat yang semakin berkembang ini.

--
Sent from my Android phone with K-9 Mail. Please excuse my brevity.

6 Dis 2013

5 Transformasi Kembalikan ‘Keramat’ UMNO


 
Ucapan Dasar Presiden UMNO semalam telah menggariskan lima transformasi UMNO untuk memastikan parti kekal relevan di masa akan datang.  Lima transformasi tersebut ialah Memperteguhkan Ekonomi Melayu dan Bumiputera, Mempertegak Maqasid Syariah, Memperkukuh Pengkaderan parti, Mempersiaga jentera transformatif, dan Menetap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UMNO.   
 
Akhir-akhir ini, UMNO sering ditekan dan dicabar dari segenap arah.  Kemelayuan UMNO dijadikan satu masalah, keIslaman UMNO yang sebelum ini dipersoal oleh PAS, kini dibimbangi pula oleh DAP.   Lalu, mereka terus mentohmah UMNO sebagai rasis dan juga kolot.  Mereka mengasak agar UMNO bertukar arah dan identiti agar tidak lagi menjadi Melayu atau Islam sejati.  Kata mereka lagi, UMNO mengabaikan hak asasi dan meminggirkan minoriti dan juga LGBT. 
 
Bagi musuh-musuh UMNO, apa saja yang UMNO lakukan adalah salah dan tidak kena.  Malah, kewujudan UMNO itu sendiri bagi mereka, adalah tidak kena. 
 
Biarpun negara ini terhutang budi  kepada UMNO dan pemimpinnya, namun UMNO tetap menjadi mangsa cemuhan dan permusuhan sebahagian rakyat yang enggan mensyukuri nikmat pemerintahan adil. 
 
Dapatkah kita bayangkan keadaan negara ini jika bukan diperintah oleh UMNO ketika ancaman komunis dan juga 13 Mei? Apakah Malaysia mampu makmur seperti hari ini?  Apakah kita mampu mempunyai kehidupan yang selesa seperti sekarang dan apakah ada di antara kita yang mampu menjadi mewah dan memiliki rangkaian hartanah?   
 
Pernahkah kita terfikir, bagaimanakah agaknya rupa Malaysia jika bukan UMNO yang menjadi tunjangnya? 
 
Jika benar UMNO begitu rasis, begitu kolot, begitu korup, apakah Malaysia mampu berdiri sebagai sebuah negara Islam membangun yang gah di mata dunia?   Bukankah ini satu soalan yang jelas sekali jawapannya?
 
Namun, kadangkala ada sahaja pemimpin yang tidak mampu menghadapi segala tekanan dan cabaran ini serta mula melonggarkan kedudukan. 
 
Justeru, ramai yang khuatir kalau-kalau UMNO tergelincir dari landasan dan tidak mampu meneruskan perjalanan.   Pedih sekali untuk diakui bahawa UMNO telah pun memperlihatkan tanda-tanda sedang tergelincir dan ragu-ragu untuk mencapai destinasi.  
 
Bagaimanapun, sekali lagi ucapan Presiden UMNO membuktikan bahawa beliau tidak pernah keliru atau ragu-ragu dengan arah tuju perjalanan UMNO.  5 Transformasi yang digariskannya jelas menunjukkan yang UMNO masih di landasan yang asal. 
 
Melayu dan Islam kekal menjadi tonggak utama dan itu sudah cukup untuk akar umbi mengeluh lega.  Selebihnya adalah terletak pada perlaksanaan tranformasi oleh jentera dari proses pengkaderan yang semestinya dipantau melalui KPI parti. 
 
Kita tidak ragu-ragu lagi, sekiranya kelima-lima transformasi ini berjalan lancar, maka tiada apa lagi yang harus dikhuatiri oleh ahli-ahli akar umbi mahupun rakyat Malaysia keseluruhan. 
 
Semalam, Presiden telah meniup wisel agar kita memperkukuh kuda-kuda dan memperkemas kisi-kisi.  Jelas, beliau juga tidak merestui mana-mana pemimpin untuk melonggarkan kedudukan mereka dalam menghadapi cabaran ini.  Hanya keyakinan dan kepastian atas pendirian sendiri yang mampu mengembalikan 'keramat' UMNO dalam mendaulatkan agama bangsa dan negara. 
 
UMNO perlu berdiri teguh, kemas dan segak atas nama Melayu dan Islam seperti azalinya.  UMNO telah berjaya melakukannya tanpa menindas kaum lain dan tidak ada sebab bagi mana-mana pihak untuk mempersoalkan kenapa UMNO tidak boleh meneruskan cara yang sama. 
 
UMNO tidak pernah berbuat salah kepada sesiapa dan tidak perlu membela diri kepada sesiapa. 
 
UMNO bukan rasis, biarpun ia bernafas atas nama Melayu.  Buktinya ada di sekeliling kita.

--
Sent from my Android phone with K-9 Mail. Please excuse my brevity.

3 Dis 2013

Kes Siti Aisyah Buat DAP Semakin Keliru


Kisah mengenai rakyat Malaysia, Siti Aisyah Abd. Wahab menjadi hamba di London selama 30 tahun menjadi semakin hangat dengan pendedahan mengenai pembabitan beliau dengan komunisme. 
 
Seperti yang dijangka, DAP pantas 'tersentuh' apabila perkataan 'komunis' disebut.  Maka sepantas itu juga kisah Siti Aisyah digarap oleh DAP untuk dijadikan peluru bagi menentang kerajaan.  Untuk itu, DAP membandingkan sikap kerajaan BN terhadap Siti Aisyah dengan apa yang berlaku kepada abu mayat Chin Peng.  Tujuannya ialah untuk menunjukkan bahawa kerajaan BN bersikap berat sebelah dan tidak adil dalam melayan penyokong dan penganut komunisme. 
 
Pada 17 November lalu, Lim Kit Siang telah bertegas bahawa beliau bukan komunis atau menganut fahaman komunis.  Kata beliau, tuduhan bahawa beliau menyokong komunis merupakan usaha terdesak UMNO untuk memburukkan imejnya. 
 
Berdasarkan kenyataan ini, nampaknya Kit Siang bersetuju bahawa komunis adalah musuh negara dan sebarang kaitan dengan komunis membawa impak negatif kepadanya dan juga partinya. 
 
Namun, dalam usaha DAP menyerang kerajaan kerana memberi layanan berbeza antara Siti Aisyah dan Chin Peng, DAP telah menggelar Chin Peng sebagai 'matyr' atau seorang yang mati syahid, yakni wira yang tumbang dalam perjuangan yang murni. 
 
Sebelum ini juga, bukan kita tidak tahu bagaimana DAP bertungkus lumus berusaha untuk membawa balik Chin Peng semasa hayatnya, dan kemudian abu mayatnya, semata-mata untuk memberi penghormatan tertinggi kepada pejuang komunis itu. 
 
Justeru, kita ingin bertanya DAP atau Kit Siang sendiri, jika menjadi komunis adalah sesuatu yang buruk dan negatif, kenapakah Kit Siang dan DAP menyanjung Chin Peng?   Apakah komunis itu jahat atau baik bagi DAP?  Apakah komunis itu wira atau musuh negara bagi Kit Siang? 
 
Jelas, Kit Siang atau DAP sendiri sudah keliru dengan pendirian mereka sendiri mengenai komunis.  Satu saat mereka menyokong Chin Peng tetapi di saat yang lain mereka enggan dikaitkan dengan perjuangan komunisme Chin Peng.  Satu saat Chin Peng adalah wira, tetapi di saat yang lain sebarang kaitan dengan perjuangan Chin Peng merupakan sesuatu yang buruk untuk mereka. 
 
Kekeliruan DAP bertambah parah apabila kisah Siti Aisyah terdedah.  DAP cuba merungkai kekeliruan sendiri dengan mengalihkannya kepada BN dengan mempersoalkan layanan dwistandard antara Siti Aisyah dengan Chin Peng. 
 
Sebenarnya, persoalan ini begitu mudah sekali untuk dijawab.  Sebab kerajaan tidak memusuhi Siti Aisyah sepertimana Chin Peng ialah kerana Siti Aisyah bukan personaliti yang signifikan dalam perjuangan komunisme di Malaysia.  Beliau tidak pernah membunuh atau mengarahkan pembunuhan ke atas rakyat dan pihak keselamatan negara.  Malah, dari satu sudut Siti Aisyah boleh diperdebatkan sebagai mangsa yang lemah kerana terlalu mudah terpengaruh dengan ideologi komunis yang disogokkan kepadanya.  Lebih dari itu, beliau tidak pernah menyebabkan apa-apa kemusnahan kepada negara dan memilih untuk membawa fahamannya ke negara asing. 
 
Berbeza dengan Chin Peng yang  menjadi dalang, ketua dan punca kematian, kecederaan dan kemusnahan yang melanda negara.  Sebagai ketua, Chin Peng wajib dipertanggungjawabkan ke atas segala keburukan yang dibawa oleh komunis kepada negara ini.   Chin Peng bukan orang yang menurut perintah, tetapi orang yang memerintah. 
 
Jika Siti Aisyah perlu dilayan sama seperti Chin Peng, maka kerajaan juga wajar melayan Hishamuddin Rais dengan cara yang sama.  Kenapakah DAP tidak membandingkan Siti Aisyah dengan Hishamuddin Rais? 
 
Jika DAP tidak mampu memahami perbezaan ini, maka sahlah bahawa parti itu terdiri dari manusia yang kurang cerdik belaka. 
 
Nasihat kita pada DAP, selesaikan dulu kekeliruan mengenai kedudukan komunis dalam perjuangan parti itu sebelum menuduh orang lain keliru. 
 
Apa yang pasti, orang lain tidak pernah keliru mengenai siapa komunis, siapa musuh dan siapakah rakyat yang setia pada negara.  Yang sentiasa keliru dari dahulu sehingga ke hari ini, hanyalah DAP.   Malah, sehingga ke hari ini juga, DAP nampaknya masih lagi tidak tahu kepada negara manakah mereka harus sandarkan kesetiaan. 
 

--
Sent from my Android phone with K-9 Mail. Please excuse my brevity.

GAJI MELAMPAU MB, EXCO BUKTI AGENDA PERIBADI PEMBANGKANG


Isu kenaikan gaji melampau di Selangor ang membabitkan Menteri Besar, Exco dan ADUN ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi membuktikan agenda pembangkang yang hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Dari segi prinsipnya tidak salah untuk menaikkan gaji anggota pentadbiran di mana-mana negeri sekali pun, tetapi ianya hendak berpada-pada.

Apa yang berlalu di Selangor amat mengejutkan ketua umum PKR sendiri apabila gaji menteri besar jauh lebih besar daripada perdana menteri sendiri.

Malah beberapa jawatan yang membabitkan speaker dan timbalan speaker mendapat kenaikan mendapat mencecah lebih 300 peratus.

Bayangkan Tan Sri Khalid Ibrahim yang hanya mentadbir sebuah negeri antara 13 negeri di Malaysia, menggunakan kuasanya untuk menaikkan gaji melebihi perdana menteri yang mentadbir satu negara!

Rasa terkejut bukan sahaja dilahirkan oleh rakyat, tetapi juga rungutan didengari semakin kuat dari lapisan anggota PLR, Dap dan Pas yang merasakan pemimpin pembangkang hanya mendahulukan dan memenuhkan temolok mereka sahaja.

Kalau dahulu slogan-slogan bertemakan rakyat digunakan sepenuhnya oleh pembangkang untuk memenangi hati pengundi pada masa Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 tetapi setelah mereka menang, rakyat bukan lagi keutamaan mereka.

Semasa penggal pertama pembangkang memerintah Pulau Pinang dan Selangor khususnya mereka berlagak lebih daripada malaikat.

Demi memikat hati pengundi terutama orang Melayu, pembangkang membuat pelbagai program yang hanya cantik pada permukaan sahaja tetapi tidak mempunyai manfaat jangka panjang.

Kini apabila mereka sudah masuk penggal kedua memerintah, barulah topeng munafik terbuka.

Sebelum isu kenaikan gaji yang tidak masuk akal itu, kerajaan negeri juga telah melakukan beberapa perkara yang memperlihatkan sikap sebenarnya mereka.

Dalam isu Unisel milik kerajaan negeri, kebajikan pelajar diabaikan apabila masalah perumahan tidak dapat diselesaikan.

Aset kepunyaan Yayasan Selangor yang ditubuhkan serta diuruskan dengan baik di bawah pentadbiran Barisan Nasional juga mahu dijual satu ketika dahulu.

Malah kerakusan pembangkang terserlah apabila padang bola yang menjadi tempat rekreasi penduduk Kelana Jaya sejak puluhan tahun juga mahu di jual kepada pihak pemaju perumahan.

Apa yang berlaku di Selangor hanyalah sekelumit daripada masalah lain yang jauh lebih besar.

Umpamanya Menteri Besar Diperbadankan (MBI) kini diterajui oleh Faekah Husin, setiausaha politik Abdul Khalid.

Beliau bukan sahaja menguasai segala tindak tanduk menteri besar tetapi juga memastikan kedudukan dan kepentingan peribadinya terjadi.

Dalam kes pelantikan Datuk Saifuddin Ismail Nasution sebagai pegawai politik Selangor, sehingga kini beliau tidak memasuki pejabat untuk menjalankan tugas.

Oleh kerana setiausaha agung PKR itu adalah kroni Anwar Faekah menunjukkan sikap pilih kasih dengan memberi Saifuddin sebuah bilik yang kecil serta terletak jauh daripada pejabat menteri besar.

Selain Faekah kebanyakan dasar dan keputusan pejabat menteri besar didakwa diputuskan oleh wanita-wanita kesukaan Abdul Khalid.

Antara seorang yang bernama Rohani yang dikatakan pernah menjalinkan hubungan intim dengan beliau.

Walaupun sudah melangkaui umur persaraan namun Rohani diberi kedudukan tinggi di dalam MBI dengan gaji lima angka.

Dengan gaji yang begitu tinggi beliau hanya perlu menjenguk ke pejabat hanya sekali sekali sahaja dan boleh dikatakan mendapat gaji buta dengan goyang kaki sahaja.

Beginilah pakatan pembangkang memperlakukan negeri di bawah pentadbiran mereka seperti harta kepunyaan peribadi.

Kini timbul juga isu elaun Anwar sebagai penasihat ekonomi Selangor yang mencecah jutaan ringgit walaupun mengambil gaji RM1 sebulan.

Tidakkah rakyat terkejut apabila Anwar dikatakan mendapat elaun sebanyak RN15 juta setahun tetapi jumlah tersebut kini dikatakanuhanya RM150,000 sahaja.

Apa pun rakyat Selangor telah tertipu dengan sikap pembangkang yang berpura-pura menjaga kebajikan rakyat.

Kebanyakan daripada program-program yang membabitkan warga emas, pelajar universiti, anak-anak pra-sekolah, amanah saham seperti Tawas di bawah MES (Merakyatkan Ekonomi Selangor) diabaikan dan tidak mencapai sasaran.

Puluhan juta ringgit sudah di dibelanjakan dari segi program penerangan kerajaan negeri seperti Layar Rakyat, Pikom, TV Selangor tetapi semuanya lingkup dan tidak berjaya.
--
Sent from my Android phone with K-9 Mail. Please excuse my brevity.