15 Feb 2013

'Benar! beri undi kepada Pas haram'


KOTA BHARU : "Memang benar, tepat, beri undi kepada Pas adalah haram."

Demikian ditegaskan bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad, ketika mengulas laporan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang mengisytiharkan memberi undi kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah haram.

Wan Ismail berkata, beliau beranggapan sedemikian kerana Pas sepatutnya menentang DAP yang semakin berani menyentuh sensitiviti agama Islam terutama membabitkan perkara akidah dan bukannya terus bersekutu dengan parti tersebut.

"Walaupun dia (Pas) tidak buat perkara itu tetapi masih bersekutu, ini bererti dia telah bersubahat.

"Yang sangat jelas sekarang adalah isu penggunaan kalimah Allah. Ibarat memang kamu tidak mencuri, tapi yang kamu ikut sama pergi mencuri dengan kumpulan pencuri itu kenapa, bukankah itu maknanya kamu menyokongnya. Inilah subahat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai para ulama, Tok Guru pondok, imam dan ustaz muda membuat pengistiharan memberi undi kepada Pas dalam pilihanraya umum akan datang adalah haram.

Pertubuhan itu iaitu Minda Pondok, Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati), Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK) dan Pendita turut menegaskan perjuangan menetang Pas adalah jihad kerana mengundi parti itu bermaksud menyokong DAP yang merupakan parti cauvinis yang menolak Islam dan memperjuangkan sekularisme.

Mengulas lanjut pendirian NGO terbabit, Wan Ismail yang juga antara bekas pengasas penubuhan Pas di negeri ini berkata, tanggapan Pas bersubahat dalam isu yang mnyentuh sensiviti umat Islam tidak akan hilang selagi terus bersekutu dengan DAP.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, umat Islam seharusnya peka terhadap tuntutan syarak dalam soal memilih kerajaan Islam kerana perkara tersebut tidak boleh dijual beli.

"Kita kena ingat, syurga dan neraka bukan hak kita. Tidak ada istilah undi Pas masuk syurga. Kemungkaran tetap kemungkaran," katanya

14 Feb 2013

Deepak Akhirnya Menceritakan 'Hal Sebenar' Tetapi Masih Kabur

Deepak Jaikishan berjaya menjadi seorang 'selebriti' apabila beliau menuduh Perdana Menteri dan isteri terhadap penglibatan mereka dengan perniagaan Deepak di mana mereka dikatakan tidak membantu Deepak langsung.
Jika kita kembali kepada situasi semasa isu ini sedang berlaku, Perdana Menteri, Dato� Seri Najib, sedang memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, nama Deepak dikaitkan sebagai 'orang tengah' dalam kes pembunuhan Altantuya, seorang model warga Mongolia yang dikatakan terlibat dalam skandal kapal selam dan skandal kepada DPM.
Deepak menafikan segala tuduhan tersebut, dan mempersoalkan tentang mengapa beliau perlu berjumpa dengan adik kepada DPM, Nazim, secara langsung untuk memberikan bayaran terhadap pembunuhan tersebut? Deepak menyatakan hubungan antara beliau dan juga PM dan isteri hanyalah untuk perniagaan. Ketika itu, Deepak ada mengenali Bala. Benar, Bala pernah meminta pertolongan daripada Deepak, namun Deepak tidak memberi sebarang pertolongan kepada Bala kerana Deepak tidak percayakan Bala.
Namun, itu dulu, ketika perniagaan Deepak sedang maju.
Kini, setelah semuanya mula merudum, Deepak perlukan seorang mangsa untuk dituduh. Siapa lagi yang boleh dituduh jika tidak seseorang yang pernah membantu Deepak dalam perniagaan beliau. Deepak perlu memulihkan kerugian yang ditanggung, siapa lagi yang boleh membantu beliau jika bukan seseorang yang mempunyai kuasa atau seseorang yang mahukan kuasa? Jadi, Deepak mengambil kesempatan dengan menggunakan nama Perdana Menteri dan isteri, dan pada masa yang sama membuat 'pelaburan' pada 'kerajaan baru'.
Itulah sebab mengapa Deepak tidak takut untuk mendedahkan bahawa PM adalah dalang dalam kes pembunuhan Altantuya.
Mengapa Deepak tidak membuat pendedahan yang sama ketika Dato� Seri Najib sedang memegang jawatan DPM?
Kisah kes pembunuhan ini mula 'dihangatkan' oleh Pembangkang. Versi mereka 'menceritakan' bahawa isteri PM berada di tempat kejadian ketika pembunuhan tersebut berlaku, berdasarkan 'bukti-bukti kukuh' (kasut beliau). Mereka kemudiannya mendakwa bahawa isteri PM sempat melihat Altantuya dibunuh.
Namun, terdapat gambar-gambar isteri PM, termasuk kenyataan akhbar yang melaporkan bahawa beliau sedang menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim pada masa kejadian. Jadi, cerita tersebut kemudiannya diubah lagi oleh Pembangkang.
Selain itu, terdapat gambar yang di'super-imposed' bagi menunjukkan PM duduk semeja bersama Altantuya untuk makan malam yang digunakan oleh pihak Pembangkang sebagai 'bukti'. Namun, apabila gambar super-impose itu dibuktikan sebagai gambar yang direka-reka, pihak pembangkang mula memusingkan cerita dengan menuduh bahawa individu yang mempunyai hubungan bersama model Mongolia itu adalah pembantu PM, Razak Baginda.
Namun, kini, Deepak membuat satu lagi pendedahan dengan menyatakan bahawa Razak tidak mungkin mempunyai sebarang hubungan dengan Altantuya, kerana Razak mempunyai masalah mati pucuk. Bukan Razak, PM yang mempunyai hubungan bersama Altantuya.
Deepak juga berkata bahawa SPRM tidak berani, polis tidak berani, Azilah dan Sirul (pesalah) juga tidak berani untuk menyatakan perkara sebenar hinggakan mereka sanggup dipersalahkan atas tuduhan yang dibuat keatas DPM.
Rakyat sudah penat atas segala U-turn yang dibuat oleh Bala dan Raja Petra, kini giliran Deepak pula? Mungkin Deepak perlu mengambil ujian alkohol sebelum sesiapa mengambil kenyataan yang dikeluarkan oleh saudagar karpet ini.
Penulis pasti bahawa Deepak tidak sedar bahawa jika beliau mengambil U-turn, cerita tersebut perlulah selari dengan cerita dari Bala dan juga Raja Petra, termasuk SUARAM dan Tian Chua juga, jika tidak, segalanya akan hancur.
Buat masa sekarang, semua kisah yang diceritakan tidak membawa makna, termasuklah cerita Deepak.
SUARAM kini terpaksa bersembunyi untuk menutup malu mereka apabila kisah mereka dibongkar. Deepak pula hanyalah seorang peniaga yang terpaksa menyambung perjuangan SUARAM yang gagal.
Deepak bukan sahaja perlu mencantumkan cerita-cerita dari pihak pembangkang, beliau juga perlu mengambikira penjelasan yang datang dari bahagian pro-kerajaan.
Deepak perlu memperjelaskan bagaimana cerita beliau mempunyai kaitan dengan cerita Dato� Zulkefli Nordin�s, bekas peguam Anwar yang juga pernah mewakili Azilah dan Sirul? Dato� Zulkefli Nordin pernah mendedahkan di dalam blog beliau bagaimana beliau bertindak untuk tidak mewakili pesalah-pesalah tersebut.
Zulkefli yang kini telah meninggalkan PKR, mengaku bagaimana beliau dipaksa oleh Anwar untuk mereka bukti yang membolehkan Azilah dan Sirul membuat tuduhan kepada Dato� Seri Najib dan Datin Seri Rosmah sebagai dalang yang memberikan arahan untuk membunuh.
Satu perkara yang menghairankan penulis, walaupun cerita Deepak tidak boleh digunapakai, ada yang masih percaya akan cerita tersebut!
Lihatlah segala penipuan Bala, Raja Petra, Tian Chua, SUARAM melalui pembangkang yang berjaya dibongkarkan, dan kini Deepak pula, siapa yang masih percayakan cerita mereka?

13 Feb 2013

Skandal Tanah: Sampai Bila Rakyat Kelantan Mahu Bersabar?


Dikira dari usia pemerintahan PAS di Kelantan sejak 1959 - 1978 (19 tahun) diikuti dengan pusingan kedua bermula 1990 - 2013 (23 tahun), bermakna sudah 42 tahun negeri Serambi Mekah ini berada dalam genggaman PAS.

Suka atau tidak, rakyat Kelantan perlu akui selama tempoh lebih empat dekad ini sudah sekian banyak skandal tanah melibatkan keluasan puluhan ribu ekar tanah dan hasil bumi negeri ini telah dipajak gadai dan terjual kepada orang luar.

Dulu dalam tahun 1964 hingga pertengahan 1975, rakyat Kelantan pernah tercabar maruahnya apabila Kerajaan PAS Kelantan telah menyerahkan hak milik tanah seluas lebih 300,000 ekar secara pajakan kepada sebuah syarikat dari Singapura.

Ramai pemimpin PAS negeri tika itu yang kaya raya hasil dari tindakan tersebut, sementara rakyat bawahan pula hanya mampu menangis tak berlagu mengenangkan maruah diri dan negeri tumpah darah bagaikan telah menjadi milik orang lain.

Kini di abad millenium, peristiwa hampir serupa berulang kembali apabila Kerajaan PAS Kelantan dengan berselindung di sebalik projek Ladang Rakyat telah 'bermurah hati' memajakkan tanah seluas lebih 80,000 ekar di Hulu Kelantan kepada syarikat-syarikat luar.

Kononnya melalui projek Ladang Rakyat ini akan membantu membasmi masalah kemiskinan di mana lebih 4,000 orang penduduk di Hulu Kelantan bakal beroleh manfaatnya. Mereka dijanjikan dengan habuan hak milik tanah dan tapak rumah, namun sampai sekarang hanya debu-debu tanah sahaja yang kelihatan.

Sebaliknya yang berlaku tauke-tauke syarikat yang sudah sedia kaya semakin kaya raya, manakala ramai pemimpin PAS yang dulunya hanya memiliki rumah kayu kini bertukar menjadi rumah batu bertingkat, dari satu motokar kecil sekarang berbuah-buah kenderaan tersusun di depan rumah.

Pemimpin PAS yang dulunya setia pada isteri nan satu kini memasang cawangan baru, tidak cukup dua ditambah menjadi tiga. Puas melabuh sauh dalam negara ada yang merantau hingga ke Kemboja untuk mendapatkan selera baru yang berkenan di mata.

Di masa yang sama berbelas orang pemimpin PAS negeri menikmati laba keuntungan apabila bertuah memperoleh hak milik tanah di kawasan tersebut. Anak dan isteri pemimpin PAS tidak ketinggalan menikmatinya tapi rakyat yang menanti terus kempunan.

Rakyat terus termangu-mangu menantikan janji bulan jatuh ke riba dan terus hiba hatinya lebih-lebih lagi melihatkan tanah yang dulunya diteroka kini sesuka hati dirodok dan dinikmati hasil mahsulnya oleh tauke-tauke Cina yang begitu akrab dengan pemimpin PAS negeri.

Dalam tempoh beberapa ketika berlalu, juga bertempat di Hulu Kelantan lebih 10,000 ekar tanah yang kaya dengan kayu kayan balak bernilai tinggi kini pula telah menjadi milik pemimpin Cina DAP dari Perak untuk selama lebih setengah abad mendatang.

Sekali lagi rakyat termangu sendirian mengenangkan apa malangnya nasib mereka sering kali di anak tirikan oleh Kerajaan PAS Kelantan. Entah sampai bila mahu bersabar, lagi lama ditahan entah-entah lebih banyak tanah tergadai dan maruah negeri diinjak-injak oleh orang luar dan hasil buminya mengalir tanpa memberi manfaat pada rakyat pribumi sendiri.

Tidak cukup apa yang berlaku di Hulu Kelantan, di pusat bandar Kota Bharu yang khabarnya gah dilabelkan sebagai bandaraya Islam contoh oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, lebih 300 ekar tanah sudah sah dipajak hak miliknya kepada sebuah syarikat bukan bumiputera.

Katanya mahu mengindahkan tebing sungai Kelantan melalui projek yang dikenali sebagai Lembah Sireh. Maka para petani yang dulu mendapat rezeki lumayan hasil tanaman di tebing sungai itu dipindahkan dan hanya mendapat sedikit pampasan wang ringgit antara RM100 hingga RM900 sebulan selama 3 tahun.

Hasil projek itu maka berdiri megahlah sebuah pasaraya besar Tesco yang dianggap oleh MB Kelantan sebagai simbol kemajuan negeri ini, sedangkan projek utama yang sepatutnya diutamakan seperti sebuah masjid, dua buah jambatan, sebuah stadium dan gerai jualan yang mempunyai kepentingan umum hingga sekarang gagal dibina.

Mujur ada Kerajaan Pusat yang prihatin menyegerakan pembinaan salah satu jambatan tersebut iaitu Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra yang kini sudah boleh digunakan, jika ditunggu-tunggu syarikat kepercayaan Kerajaan PAS Kelantan membinanya, tujuh keturunan pun belum tentu siap sebatang tiang konkrit pun.

Namun di sebalik kegagalan syarikat swasta itu mematuhi perjanjian sumbangan projek sebagai galang ganti pemindahan hak milik tanah, Kerajaan PAS Kelantan terus berlembut tanpa sebarang tindakan tegas, sedangkan hampir sebahagian tanah ini telah pun dipajak pula kepada institusi kewangan bagi membolehkan syarikat tersebut beroleh pinjaman berpuluh juta ringgit.

Entah apa malang nasib rakyat Kelantan, dalam kesukaran mereka mendapatkan hak milik tanah walaupun wang deposit sudah dibayar, mudah pula bagi syarikat-syarikat luar dan pemimpin-pemimpin politik yang berkepentingan dengan Kerajaan PAS Kelantan memperoleh tanah yang berekar-ekar luasnya.

Sampai bila agaknya rakyat pribumi sanggup bersabar membiarkan tanah negeri dan hasil bumi terus mengalir ke tangan orang lain? PRU 13 yang sudah tidak berapa lama lagi adalah satu-satunya peluang besar untuk rakyat Kelantan mengubah senario yang berlaku.

Jika tidak sekarang, sanggupkah kita menunggu 5 tahun lagi yang mungkin tika itu sudah terlambat apabila hampir setiap inci tanah negeri ini dipajak kepada pihak lain, barulah tika itu terdetik kesedaran untuk kita bangkit memprotes demi mempertahankan hak anak negeri? Tepuk kepala tanya akal yang waras!!!

Selepas Balak Licin, Mana Lagi Azizan Nak Tala?


Tidak ada apa yang mampu dilakukan selain menggeleng-gelengkan kepala melihat bagaimana kerajaan PAS Kedah memusnahkan negerinya sendiri.  

Oleh itu, tidak hairan ramai yang mengesyaki bahawa PAS Kedah sememangnya tidak berniat atau tidak mengharapkan akan diberi mandate untuk mentadbir Kedah lebih dari sepenggal.

Mungkin kerana itulah dalam masa 4 tahun ini, PAS Kedah telah mengaut sebanyak mungkin keuntungan dengan merebut serta mencipta apa saja peluang untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni masing-masing.  

Bukit-bukit gondol akibat pembalakan tidak terkawal menjadi bukti bahawa PAS tidak pernah melihat ke hadapan, tetapi sekadar memikirkan keadaan semasa iaitu dalam masa sepenggal pemerintahan sahaja.  Bagi PAS, Apa yang berlaku selepas penggal ini bukan lagi masalah PAS, tetapi BN kerana apa yang penting, semua pemimpin dan kroni mereka telah pun kaya. 

Mungkin, sekurang-kurangnya itulah yang difikirkan oleh exco-exco dan pegawai-pegawai di dalam pentadbiran negeri dan syarikat milik kerajaan negeri Kedah. 

Tetapi, apa yang difikirkan oleh pemimpin tertinggi Kedah, iaitu Dato� Seri Azizan Razak mungkin berbeza.  Kerana itu, Azizan nampaknya masih berminat untuk bertanding dan masih menunjukkan keinginan untuk menang dan terus memegang jawatannya.  Beliau yang terkenal sebagai Menteri Besar yang tidak tahu apa-apa nampaknya masih tidak sedar yang negerinya sedang musnah. 

Sehingga ke hari ini, Azizan terus percaya kepada Rektor KUIN bahawa keadaan di KUIN adalah terkawal dan KUIN tidak punya masalah besar.  Azizan juga percaya kepada Sanusi, Setiausaha Sulitnya, bahawa pembalakan di Kedah boleh dijustifikasi dan segala kritikan hanyalah mainan politik musuh sahaja.  Dan Azizan juga percaya yang Phahrolrazi akan dapat memaksa Pulau Pinang membayar caj bekalan air seperti yang diumumkan dalam Bajet Kedah tempoh hari.  

Malah, Azizan yakin Sobri, Presiden Kulim Hi-Tech Park mampu membawa masuk pelaburan asing tambahan ke Taman Teknologi tersebut tanpa sokongan dan bantuannya, sebagai Menteri Besar.   Begitu juga dengan Bina Darul Aman mampu melaksanakan projek dengan baik serta telus.   Bagi Azizan juga, segala kerugian dari projek Papua New Guinea, Langkawi, Aquakultur dan semua projek kerajaan negeri hanyalah masalah kecil dan tidak akan menjejaskan pentadbirannya. 

Dengan bergantung seratus-peratus kepada laporan dari �orang-orang yang terpilih� Azizan terus percaya kepada apa yang ingin dipercayainya sehinggakan dalam masa sepenggal ini, beliau langsung tidak pernah mengambil langkah untuk melawat atau meneliti sendiri segala permasalahan yang timbul.   Biar riuh rendah orang bercakap tentang pembalakan Kedah, biar berjuta orang menunjuk perasaan, Azizan tidak teringin pun untuk melihat sendiri bukit-bukit yang gondol dan air tadahan yang tercemar. 

Azizan tidak tahu bahawa sekiranya beliau masih terus memegang jawatan di penggal hadapan maka ketika itu barulah beliau akan sedar bahawa Kedah sudah tidak ada apa-apa lagi untuk ditadbir. 

Azizan juga tidak tahu bahawa setelah segala exco, pegawai dan kroni mereka kenyang, Azizan akan dipertanggungjawabkan atas kerakusan mereka.  Di waktu itu, mahu tidak mahu, Azizan wajib memikul tanggungjawab tersebut sebagai pemimpin tertinggi negeri kerana telah tidak mengambil tindakan untuk menghentikan segala kemusnahan, sedangkan beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. 

Di harap rakyat Kedah mula membuka mata dan bangkit melihat apa yang berlaku di keliling mereka.  Sedangkan, satu-satunya sumber kewangan yang mampu difikirkan oleh kerajaan PAS Kedah adalah melalui pembalakan.  Memandangkan semua hutan termasuk Hutan Simpan Kekal juga telah gondol dikerjakan dalam masa sepenggal sahaja, maka bagaimana lagi Azizan boleh menjana pendapatan pada penggal depan?  

Balak bukannya boleh tumbuh dalam masa sebulan dua dan jika benar semua hutan itu akan diganti dengan ladang rakyat, ia juga bukan boleh menjana pendapatan dalam sekelip mata.  Lebih dari itu, yakinkah kita bahawa ladang rakyat itu akan berjaya?  Apakah wujud kertas-kerja yang berwibawa untuk memperlihatkan yang projek ladang rakyat itu benar-benar berbaloi berbanding balak yang ditebang, hutan yang dimusnahkan dan bencana yang mungkin diakibatkannya? 

Sudah sampai masanya rakyat Kedah belajar memahami pentingnya memilih parti yang berkelayakan untuk memerintah dan bukannya parti yang hanya tahu berslogan.  

Hari ini, kita telah melihat bukit-bukau termasuk hutan simpan kekal musnah.  Esok, selepas semuanya licin, tidak mustahil kerajaan negeri akan mula menjual tanah kepada tauke-tauke Cina pula, termasuk dari Singapura, sepertimana yang berlaku di Kelantan selama ini.

Anwar Dapat Gelaran Huguan Siou Malaysia Kerana Mesra Kristian


Memahami kemaruknya Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, maka beliau tak habis-habis dikaitkan oleh oleh orang-orang sekelilingnya dengan berbagai gelaran sanjungan, mungkin untuk memujuk hatinya.  Antaranya, �Sivaji the Boss� dan �Anugerah Tuhan�.  Selain itu, Anwar juga gemar menyamakan dirinya sendiri dengan tokoh-tokoh hebat seperti Mandela, Ghandi, Suu Kyi dan lain-lain.  Semua ini menggambarkan keinginan yang amat sangat untuk disanjung-sanjung dan dipuja-puja. 

Baru-baru ini, dengan tidak semena-mena, dalam kemaruk Anwar untuk berkuasa, PKR Ranau, Sabah pula telah bertindak membodeknya secara keterlaluan dengan memberikan gelaran �Huguan Siou Malaysia�.  Sedangkan Huguan Siou adalah gelaran tertinggi bagi masyarakat Kadazandusun sahaja. 

Gelaran Huguan Siou telah diberikan kepada Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan ianya bersifat seumur hidup.  Gelaran Huguan Siou hanya boleh dianugerahkan oleh Persatuan Kebudayaan Kadazanduzun Sabah iaitu sebuah pertubuhan bukan politik yang merangkumi 40 etnik di Sabah. 

Gelaran ini adalah satu anugerah khas tertinggi bagi kaum Kadazandusun dan tertakluk di bawah Kuasa Tertinggi Koisaan di mana sekiranya terdapat kekosongan bagi kedudukan tersebut, maka Sidang Delegasi Luarbiasa akan diadakan untuk membincangkannya. 

Namun, dalam keadaan di mana tiada yang dirasakan layak untuk memegang gelaran tersebut maka ia akan dibiarkan kosong sehinggalah pertubuhan ini menemui seorang yang layak. 

Begitulah tingginya kedudukan Huguan Siou bagi kaum Kadazandusun di mana ia melangkaui anugerah kehormat biasa kerana ia bersifat �suci� atau dalam darjat yang paling tinggi dan tersendiri mengatasi anugerah-anugerah kehormat yang lain. 

Dengan itu, adalah merupakan sesuatu yang janggal, pelik, malah penghinaan terhadap kaum Kadazandusun sekiranya mana-mana pihak dengan sengaja mengada-adakan gelaran �Huguan Siou Malaysia�. 

Maka tidak hairanlah apabila Anwar menerima kritikan, kutukan dan kecaman hebat dari kaum Kadazandusun apabila gelaran tersebut diberikan kepadanya oleh puak-puak PKR Ranau. 

Seperti yang kita tahu, kaum Kadazandusun, majoritinya beragama Kristian, bermazhab Katholik dengan segelintirnya Protestan.  Hanya sedikit yang beragama Islam. 

Oleh itu, sekiranya benar yang gelaran Huguan Siou Malaysia tersebut diberi kepada Anwar dengan restu kaum Kadazandusun sepertimana yang ditegaskan oleh pihak Anwar, maka sudah tentu ia membawa makna yang lebih dari sekadar sokongan kepada parti PKR. 

Kita sedia maklum akan sokongan Anwar terhadap usaha-usaha penyebaran Kristian, termasuk pemurtadan umat Islam oleh pendakwah Kristian.  Ini terbukti apabila Anwar menyokong penggunaan nama Allah dalam kitab Injil dan Anwar juga, melalui Khalid Ibrahim dan Khalid Samad telah menyokong gereja yang memurtadkan umat Islam.  Malah, Anwar juga telah berkali-kali dikesan menyatakan secara jelas akan pegangannya terhadap pluralisme agama.  Ini dilakukannya dalam ucapan-ucapannya di luar negara dengan menyamakan semua agama sebagai sama. 

Lebih dari itu, dengan mengikat kerjasama dengan DAP yang memperjuangkan penghapusan klausa �Islam sebagai agama rasmi negara�, maka seharusnya pendirian Anwar mengenai agama sudah tidak perlu dipersoalkan lagi. 

Justeru, kita tidak terkejut jika benar pihak Kadazandusun sendiri yang merestui gelaran Huguan Siou ke atas Anwar.  Pihak ini tentunya yang akan mendapat banyak faedah dari kedudukan tertinggi Anwar di dalam puak mereka dan seterusnya di dalam negara. 

Bukan kita tidak tahu bahawa golongan Kristian di Malaysia ini gemar melakukan sesuatu yang bertentangan dengan amalan dan pendirian Kristian di negara majoriti Kristian sendiri.  Antaranya, mereka gemar menyebar dakwah melalui tipu muslihat dan manipulasi seperti injil dalam Bahasa Melayu dan penggunaan nama Allah sebagai mengganti nama Tuhan Kristian.  Sedangkan tindakan ini ditentang oleh Kristian di negara lain. 

Selain itu, Kristian di Malaysia juga mengambil sikap terbuka terhadap LGBT sedangkan Kristian di negara lain mengutuknya.  Kerana itu, ada yang merujuk kepada mereka sebagai Kristian yang bermazhab Malaysia. 

Ada semacam kecenderungan bagi para penganut Kristian mazhab Malaysia, terutamanya penyokong DAP, untuk meletakkan diri mereka lebih tinggi dari segala-galanya. 

Kerana itu, kita merasakan bahawa tidak mustahil puak Kristian ini telah meletakkan kepentingan kaum, budaya, adat dan kepercayaan Kadazandusun sebagai lebih rendah dari kepentingan �Kristian mazhab Malaysia� itu sendiri.  Hanya dengan alasan ini sahajalah maka mereka akan sanggup merendahkan atau menghina gelaran Huguan Siou itu dengan memberikannya kepada Anwar Ibrahim yang langsung tidak menepati syarat-syarat gelaran tersebut. 

Jika ini benar, maka wajarkah umat Islam penyokong Anwar untuk turut meraikan gelaran Huguan Siou yang diterima Anwar?

9 Feb 2013

ANWAR KENA 'MAIN' DI SABAH SEBAB TAMAK KERUSI

Kenyataan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee yang bertegas negeri Sabah mesti bertanding di majoriti kerusi dalam dewan undangan negeri adalah sesuatu yang menarik dalam konteks Negeri Di Bawah Bayu itu.

Teck Lee memberi alasan parti-parti yang ditubuhkan di Semenanjung perlu memberi laluan kepada parti seperti SAPP untuk menerajui kerajaan sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Katanya ini adalah penting demi untuk melindungi autonomi negeri tersebut mengikut perjanjian gagasan Malaysia 1963.

Mesej sebenarnya dituju kepada tiga parti pembangkang Semenanjung iaitu PKR, Pas dan Dap yang beria-iya untuk merampas negeri yang menjadi 'deposit undi' bagi Barisan Nasional untuk sekian lama.

Walaupun SAPP terkenal dengan slogan parochial 'Sabah Untuk Sabah' yang agak keterlaluan, namun ia membayangkan hasrat serta pandangan yang terpendam dalam sanubari pemimpin-pemimpin parti tempatan terhadap parti-parti pembangkang dari Semenanjung.

Ini berbeza dengan UMNO yang bertapak di Sabah secara semulajadi dan terhormat dengan menyerap parti USNO yang diasaskan oleh Tun Datu Mustapha.

Oleh itu rakyat Sabah tidak rasa janggal menerima kehadiran UMNO di bumi mereka kerana 100 peratus UMNO adalah juga warisan USNO yang banyak berjasa dalam perjuangan kemerdekaan negeri itu serta peranan besarnya dalam penyertaan dalam Persekutuan Malaysia.

Bagi rakyat Sabah, USNO adalah UMNO dan UMNO adalah USNO.

Ini berlainan pula dengan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat yang berlagak sombong dan angkuh apabila mula datang ke negeri itu.

Parti-parti ini berfikiran status dan kedudukan mereka yang dianggap sudah popular di Semenanjung membolehkan mereka juga diterima dengan tangan terbuka dan senang hati di Sabah.

Tangapan mereke meleset sama sekali kerana PKR, Pas dan Dap gagal menyelami perasaan dan memahami sanubari rakyat Sabah.

Rakyat Sabah tinggi semangat patriotisme mereka dan oleh kerana itu perjanjian 20 perkara ditandatangani dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Al Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj sebelum bersetuju kekal bersama-sama dalam Malaysia.

BN amat memahami senario politik Sabah dan oleh kerana itu ia berjaya membangunkan ekonomi negeri itu dengan baik sekali melalui jaringan bijak dengan pemimpin-pemimpin tempatan.

Rakyat Sabah menyokong BN dengan penuh keikhlasan sementara negeri itu pula dibangunkan secara adil setaraf dengan negeri-negeri lain di dalam persekutuan.

Ketua Pembangkang berfikiran Pakatan Rakyat akan mendapat laluan mudah di Sabah tetapi kenyataan Teck Lee mencerminkan sebaliknya.

Sejak empat tahun lalu pembangkang dari Semenanjung masih terus gagal meyakini parti-parti politik Sabah seperti SAPP terutamnnya dalam isu pembahagian kerusi pada PRU13 nanti.

Sehingga kini isu tersebut masih dalam terawang-awang tanpa keputusan yang muktamad.

Persoalan parti pembangkang mana yang bakal bertanding di 60 kerusi dewan undangan negeri dan 25 kerusi parlimen terus menjadi teka teki dan igauan kepada Anwar Ibrahim.

Beliau berharap perkara ini telah dapat diselesaikan sejak lama dahulu tetapi nampaknya parti-parti Sabah tidak mudah digula-gulakan oleh Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Malah bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Wilfred Mojilip Bumburing yang meninggalkan BN untuk menyertai blok pembangkang bersama-sama bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Lajim Ukin pada Julai tahun lalu, kini bertelagah secara terbuka dengan Teck Lee berkaitan isu tersebut.

Bumburing yang bertindak sebagai orang tengah bagi Pakatan Rakyat di Sabah telah mengumumkan rundingan isu pengagihan kerusi telah digantung, menandakan perpecahan sedang melanda pakatan pembangkang di negeri itu.

Impian Anwar untuk menyatukan semua parti pembangkang di Sabah menjelang PRU13 sudah berkecai dan tinggal harapan sahaja.

Tidak mustahil sepertimana Anwar melepaskan impian untun menawan Sarawak pada pilihan raya negeri 2011, beliau juga akan berbuat demikian apabila melihat keadaan di Sabah sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Hakikatnya Anwat telah 'dimain' oleh SAPP serta parti lain seperti Parti Pembaharuan Negeri (STAR), pimpinan Dr Jeffrey Kitingan yang turut berkongsi citarasa politik yang sama dengan Teck Lee.

Kedua-duanya tidak mahu Anwar mendominasi politik Sabah dan sudah tentunya tidak mahu PKR, Pas dan Dap menjadi 'abang long' kepada parti-parti tempatan.

Anwar tamak kerana mahu memiliki majoriti kerusi yang bakal ditandingi dengan mengenepikan sentimen dan hak parti-parti Sabah.

Akhirnya sifat tamak Anwar dan hanya mementingkan diri kini memakan diri sendiri dan Pakatan Rakyat bakal kecundang di Sabah sebelum pun masuk gelanggang PRU13.

ends

Terbukti PAS Menzalimi Nasharudin

Jangkakan ramai ada sesuatu yang tidak kena di sebalik pemecatan Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura PAS ternyata benar apabila surat pemberitahuan hanya diposkan kepada bekas Timbalan Presiden PAS itu pada 30 Januari 2013 dan diterimanya pada 6 Februari 2013.

PAS mengumumkan pemecatan itu pada 26 Januari 2013 melalui kenyataan media oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Zawawi Nik Salleh yang menyatakan Ustaz Nasharudin telah dipecat sebagai ahli Majlis Syura semasa badan tertinggi PAS itu bermesyuarat pada 13 Januari 2013.

Jika kenyataan Nik Zawawi betul bermakna perjalanan parti itu ternyata agak bercelaru dan tidak terurus kerana mengambil masa yang agak lama untuk menyampaikan keputusan parti kepada ahlinya.

Entah apa jenis kelayakan yang diambil kira sebelum Nik Zawawi dilantik sebagai Setiausaha, langsung tidak efisien kerja buatnya. Bukannya beribu keping surat yang perlu dihantar, hanya sekeping sahaja itu pun berminggu-minggu mengambil masa.

Sehari dua sebelum pemecatan itu diumumkan, kelibat Ustaz Nasharudin dilihat menyertai rombongan bersama Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di Gaza, Palestin telah menimbulkan kecurigaan dan rasa tidak senang di kalangan pemimpin PAS.

Dilihat kronologi yang berlaku dalam tempoh itu, memang jelas kelihatan ada sesuatu yang tidak kena. Bak kata pepatah ada udang di sebalik batu.
Pemecatan itu dilakukan memang disebabkan adanya agenda tersembunyi dan alasan kononnya Ustaz Nasharudin 'kerap tidak datang mesyuarat' hanyalah bertujuan untuk mengabui mata khalayak sahaja.

Tambahan pula Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat selaku Pengerusi Majlis Syura Ulama PAS yang sering kali ponteng mesyuarat dan kalau datang pun kerap pulang awal, tidak pula dipecat walau sepatutnya sudah lama diambil tindakan berikutan ketidakberkesanan pimpinannya.

Tak mustahil hakikat sebenarnya pemecatan itu dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak pun dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura PAS pada 13 Januari 2013, sebaliknya ia hanya diputuskan melalui perbincangan tidak rasmi antara pimpinan PAS selepas gambar Ustaz Nasharudin dan PM di Palestin disiarkan media perdana.

Walau apa senario sekalipun, tatacara pemecatan keanggotaan Ustaz Nasharudin dalam Majlis Syura Ulama PAS itu sendiri tidak menepati prosedurnya apabila Ahli Parlimen PAS Bachok itu tidak dipanggil untuk membela diri atau setidak-tidaknya diberi surat tunjuk sebab.

Jelas sekali ia satu bentuk kezaliman dan amat tidak Islamik, amat bertentangan sekali dengan seruan keadilan yang sering diwar-warkan parti itu di pentas-pentas ceramah politik.

Lebih sedekad lalu apabila Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO disebabkan masalah moral, ramai pemimpin dan penyokong PAS tampil mempersoalkan pemecatan tersebut yang dikatakan zalim dan tidak Islamik.

Walhal tindakan pemecatan itu tidak pun dilakukan secara semberono tanpa usul periksa sebaliknya Anwar telah diberi peluang untuk membela diri dalam Majlis Tertinggi UMNO malah tidak dihalang melantik pasukan guaman sendiri bagi menghadapi perbicaraan di Mahkamah.

Sekarang terbukti PAS adalah sebenar-benarnya parti yang zalim dan tidak Islamik serta telah bertindak secara kuku besi. Memang jelas PAS telah menzalimi Ustaz Nasharudin dan ianya berlaku hanya selang setahun selepas bekas Naib Presiden PAS, Dr Hasan Ali dipecat tanpa bicara dari parti itu.

Belum memerintah negara sudah terbiasa dengan kelakuan buruk dan asyik menzalimi orang lain, andai diberi peluang memerintah negara tidak sukar dibayangkan kezaliman yang bakal PAS laksanakan terhadap pihak lain yang tidak sealiran dengannya.