30 Jan 2013

Karpal Pun Ingat Hari Jadi Nik Aziz, Azizan Boleh Lupa?

28 Januari lalu, Nik Aziz dilaporkan menghadiri perayaan Thaipusam di Pulau Pinang anjuran Pakatan Rakyat.   Acara tersebut disertai oleh antara lain, ialah Pengerusi DAP Karpal Singh. 

Pada petangnya pula, Nik Aziz telah mengunjungi Karpal Singh di kediamannya dan satu sambutan Hari Jadi Nik Aziz telah diadakan di situ, siap dengan kek yang mempunyai lambang ketiga-tiga parti sekutu PR. 

Harakahdaily melaporkan bahawa kunjungan tersebut disambut dengan gembira oleh para penyokong Pakatan Rakyat sehingga menitiskan air mata.  Begitulah gembiranya mereka melihat persahabatan seorang yang bergelar Mursyidul Am dengan seorang penentang Islam tegar yang sebegitu erat, akrab dan bersatu hati dalam �berjihad� untuk menakluki Putrajaya. 

Tidak salah jika dikatakan yang kegembiraan yang dirasakan mereka adalah sama dengan kegembiraan para pembaca Malaysiakini yang �menyambut meriah� pemecatan Nasharuddin Mat Isa dari Majlis Syura melalui komen-komen mereka. 

Untuk pengetahuan semua, tarikh lahir Nik Aziz adalah 10 Januari 1931.  Kita tidak pasti sama ada Karpal yang telah bersedia untuk menyambut Hari Jadi Nik Aziz di rumahnya ataupun pihak Nik Aziz yang telah merancang terlebih dahulu. 

Jika pihak Nik Aziz yang merancangnya, tentulah pelik kerana dalam lawatan ke utara itu, beliau dilaporkan turut mengunjungi kediaman Menteri Besar Kedah, Dato� Seri Azizan Razak pada 27 Januari.  Oleh itu, beliau boleh saja menyambut Hari Jadinya di rumah Azizan dan bukannya di rumah Karpal. 

Mungkin, tidak seperti Karpal, Azizan terlupakan tarikh hari jadi Nik Aziz.  Sebagaimana kita tahu, menyambut hari jadi yang menjadi budaya �Mat Saleh� bukanlah amalan biasa bagi puak-puak PAS.   Oleh itu, kita tidak hairan jika Azizan atau Nik Aziz sendiri tidak pernah mengingati tarikh lahir anak-anak mereka dan juga isteri mereka,  jauh sekali menyambutnya.  Selain itu, PAS juga terkenal dengan sikap �chauvinis� lelaki zaman dahulu yang tidak mesra dengan keluarga dan PAS masih lagi kekal begitu, walaupun pendirian parti telah berubah serta perlembagaan kafir sudah menjadi Islam. 

Justeru, puak-puak PAS pun begitu terharu bila Karpal Singh mengingati tarikh lahir Tok Guru dan bersusah-payah meraikannya.  Mungkin ini pertama kali mereka memahami erti �penghargaan� dari orang lain secara peribadi.   Tok Guru pastinya percaya bahawa inilah makna persahabatan sejati.

Jika begini caranya Karpal menghargai persahabatan, tidak hairanlah jika Nik Aziz lebih menghargai arahan DAP dari kehendak akar umbi PAS mahupun tuntutan Al-Quran sendiri.  Memandangkan sikap Melayu itu amat berhemah dan mengenang budi, Tok Guru tentulah akan merasa lebih �malu-alah� lagi untuk menentang apa-apa pendapat atau arahan Karpal selepas ini. 

Menyorot sejarah PAS di zaman pra-persahabatan dengan DAP, parti ini mengambil pendekatan ekstrem dan amat terkenal dengan sifat memusuhi bukan Islam.  Malah, Amanat Hadi yang masih menjadi kontroversi itu juga adalah bertitik-tolak dari permusuhan terhadap bukan Islam.  Pada ketika itu, telah menjadi fahaman ahli PAS bahawa terdapat satu undang-undang tidak bertulis yang perlu dipatuhi iaitu jangan sekali-kali mengundi bukan Islam walaupun sebagai wakil rakyat.  Ini menjadi faktor utama UMNO ditentang atas alasan bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Penulis yang ketika itu hanya seorang murid sekolah juga turut merasai �bahang� permusuhan PAS terhadap bukan Islam apabila seorang rakan dari keluarga PAS enggan ke majlis hari jadi rakan bukan Islam dan memandang serong kepada penulis yang menghadirinya.  Malah, jika terpaksa ke rumah rakan bukan Islam, rakan tersebut tidak akan minum air yang dihidang sedangkan air itu hanyalah air oren. 

Namun, seperti yang disebut tadi, ini semua cerita lama, iaitu cerita PAS di zaman pra-persahabatan dengan DAP.  PAS kini, sudah berubah dan sudah jauh lebih terbuka berbanding UMNO sendiri.  

Hari ini, UMNO sanggup mati mempertahankan agama dan bangsa, tetapi PAS pula sanggup mati dari meninggalkan DAP.   Bagi PAS, biarlah Hasan Ali mati, biar Nasharuddin dibuang asalkan DAP sayang.  Orang seperti Hasan dan Nasha tidak tahu menghargai Tok Guru dan tak pernah pun beli kek Hari Jadi untuk Tok Guru, bukan macam Karpal Singh. 

Lagipun, Karpal hanya sanggup mati menentang Islam, bukan menentang Tok Guru, bukan begitu?

DAP Ingin Guna Anak Raja Untuk Hapuskan Institusi Raja?

Dalam usaha DAP untuk kekal relevan dalam masyarakat dan politik Malaysia, parti itu tidak pernah menyatakan secara terus-terang akan prinsip mereka yang menentang Institusi Raja-raja Melayu.  Namun, bagi mereka yang sedia maklum mengenai sejarah DAP akan sentiasa waspada mengenai prinsip utama perjuangan DAP yang menentang Artikel 153 di mana termaktub di dalamnya hak-hak Melayu dan Islam yang dilindungi Institusi Raja-raja. 

Walaupun ianya dikaburkan oleh pemimpin-pemimpinnya, tetapi prinsip DAP dapat dilihat di dalam komen-komen oleh penyokong tegar mereka di laman-laman sosial yang jelas membenci segala-galanya yang �berbau� Melayu.  Ia juga terserlah dalam tindakan DAP yang senantiasa mencuba untuk melemahkan atau melenyapkan terus apa-apa saja yang berkaitan dengan Melayu.  Antaranya, bahasa dan juga budaya, yang mana membawa kepada kes wakil DAP enggan memakai pakaian adat di dalam Dewan atas alasan ia bercirikan Melayu-Islam. 

Dolak-dalih konon berpegang kepada perlembagaan dan enggan mengaku menentang Institusi Raja-raja, terkantoi apabila kepimpinan tertinggi parti itu menempelak Datuk Ngeh Koo Ham dan Datuk Teng Chang Khim yang telah menerima anugerah Darjah Kebesaran oleh Raja-raja Melayu kerana tindakan itu dikira melanggar prinsip parti.   Alasan kononnya atas faktor ketelusan.   Namun, tidak semua rakyat begitu mudah terpedaya dan kita sedia maklum bahawa prinsip itu dibuat berasaskan penolakan DAP terhadap Raja-raja Melayu. 

Apabila terdedah bagaimana DAP pernah cuba memancing Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Mukhriz untuk menyertai DAP dengan dijanjikan jawatan Menteri Besar, maka ia menunjukkan betapa DAP tidak pernah menghormati Institusi Raja-raja.  Biarpun penyertaan seorang Putera Sultan ke arena politik bukan sesuatu yang salah walaupun ia jarang berlaku, namun perlakuan DAP yang memancing dan menjanjikan jawatan kepada baginda adalah perlakuan biadap. 

Apatah lagi dengan prinsip utama DAP yang tidak mengiktiraf Institusi Raja-raja, maka tindakan tersebut membawa makna bahawa DAP hanya ingin memperalatkan baginda untuk meraih undi Melayu semata-mata dengan keyakinan yang mereka dapat membonekakan baginda sekiranya strategi ini berjaya.   

Mungkin ramai yang masih ingin menepis hakikat ini dan menuduh penulis sebagai rasis dan paranoid.   Namun, tidak salah kita mengambil sikap berhati-hati memandangkan sehingga ke saat ini, kita masih tidak mendapat jaminan yang DAP tidak akan meneruskan agenda menghapuskan Artikel 153, sekali gus Raja-raja Melayu sekiranya PR memenangi PRU.  

Dengan keadaan PAS yang begitu lemah dan PKR yang terlalu bergantung kepada rakan sekutunya untuk hidup, DAP akan mempunyai kuasa mutlak jika PR berkuasa.  Malah, hari ini juga kita melihat DAP mempunyai kuasa mutlak, cumanya ia tidak ditunjukkan secara terang-terangan kerana perlu kekal relevan dalam suasana politik dan masyarakat Malaysia demi memenangi pilihanraya. 

Justeru, seperti yang disebut tadi, tawaran DAP kepada Tunku Zain adalah bertitik tolak kepada strategi untuk memenangi pilihanraya semata-mata.  Kedudukan Tunku Zain dan seluruh kerabat diRaja selepas pilihanraya yang dimenangi PR pula, tentunya belum pasti. 

Umat Melayu tidak wajar memandang remeh akan prinsip utama DAP yang berslogankan Malaysian Malaysia.  Ketahuilah bahawa prinsip tersebut tidak pernah berubah, malah kekal subur dan berkembang di dalam sanubari setiap seorang dari ahli dan pemimpin DAP.  

Kata orang, fahamilah asal usul dan hati budi seseorang sebelum kita bertindak membela atau bersahabat dengannya.  Begitu juga dengan DAP yang pernah terakam dalam sejarah sebagai memusuhi Islam dan Melayu, yang bertekad menghapuskan hak-hak Melayu dan yang pernah dan masih menjunjung sistem sosialis dan kesamarataan total. 

Justeru, kita wajib memahami terlebih dahulu apa itu sosialis dan apa itu kesamarataan total serta kesan dan impaknya kepada umat, kepada agama dan kepada negara.  Sebelum memahami semua ini, janganlah menjadi pipi yang tersorong-sorong membela DAP dalam hal ini. 

Raja-raja adalah benteng kita, jika Raja-raja juga sudah dihina sebegitu rupa dengan rasuah jawatan yang jauh lebih rendah dari kedudukan baginda, maka apakah kita masih ingin terus percaya kepada DAP? 

27 Jan 2013

BN TETAP PILIHAN DI HATI PENGUNDI PADA PRU13

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menjurus kepada pola pengundian yang menunjukkan Barisan Nasional akan terus diyakini rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal diumumkan pada bila-bila masa sahaja. 

Statistik kaji selidik UMCEDEL menunjukkan BN mendahului Pakatan Rakyat dengan lima mata peratusan.

BN memperolehi 42 peratus  berbanding 37 peratus yang memberikan keyakinan kepada PR berdasarkan kepada soal selidik ke atas saiz sampel 1,409 pengundi.

Malah pemimpin BN berpendapat bukan sahaja parti pemerintah akan menang besar tetapi juga akan berjaya merangkul kembali majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Keyakinan ini bukanlah cakap-cakap kosong kedai kopi tetapi berlandaskan kepada fakta dan realiti di peringkat akar umbi pengundi.

Sikap keterbukaan dan pendekatan inovatif pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Naji Tun Razak merupakan dua faktor amat penting yang menyumbang kepada keyakinan rakyat kepada BN.

Walaupun pihak pembangkang saban hari membangkitkan pelbagai isu yang didakwa bersabit dengan rasuah dan penyelewengan tetapi rakyat terutamanya pengundi bijak memilih di antara kaca dan permata.

Apa yang mereka sekarang lihat dan nikmati adalah hasil pro-aktif kepemimpinan cemerlang yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri dalam memperjuang serta menjaga kebajikan rakyat.

Daripada perbelanjaan isu rumah, pendidikan, kebajikan pelajar, warga emas, pemandu teksi, golongan karyawan, agamawan dan nelayan hinggalah kepada golongan peniaga serta usahawan, semuanya kini sedang menikmati hasil bermacam-macam program yang dilancarkan oleh Datuk Seri Najib.

Boleh dikatakan tidak ada lapisan masyarakat atau golongan rakyat yang disisahkan daripada menerima bantuan dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Program BR1M 1.0 dan 2.0 yang dituduh pembangkang yang kekeringan isu sebagai rasuah politik menerima respons yang sungguh menakjubkan.

Begitu juga lain-lain program KR1M, Klinik 1 Malaysia, TR1M, KD1M yang terbit daripada dua program transformasi kerajaan - Program Transformasi Pentadbiran dan Program Transformasi Ekonomi.

Mentadbir sebuah negara majmuk seperti Malaysia dengan 1001 kerenah daripada setiap kaum yang berlatar belakangkan etnik, agama, bahasa, budaya serta pandangan dunia yang berbeza bukanlah suatu yang mudah.

BN telah berjaya mengangkat serta menobatkan martabat negara dari semua susut pembangunan - ekonomi, politik dan sosial - daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada negara industri yang mennuju kepada status negara maju menjelang 2020.

Segala yang telah dicapai sehingga kini bakal hancur dan musnah jika negara berada di dalam tangan pembangkang.

Ini kerana asas politik pembangkang adalah kebencian dan perpecahan serta memporak perandakan negara demi untuk memperolehi kuasa politik.

Pembangkang tidak peduli tentang aspek keselamatan negara mahupun kedaulatannya kerana apa yang penting bagi mereka ialah merampas Putrajaya dengan menimbulkan kekacauan dan huru hara.

Ini terbukti dengan siri demonstrasi dan tunjuk perasaan yang sering diadakan sejak PRU 2008 kononnya untuk memperjuangkan hak rakyat.

Sebenarnya bukan rakyat yang menjadi fokus gerakan pembangkang.

Rakyat hanya dimobilisasikan sebagai satu gerakan massa bagi kepentingan politik pemimpin-pemimpin pembangkang dalam Pakatan Rakyat yang masing-masing mempunyai halatuju dan ideologi yang berbeza.

Walaupun kajian UMCEDEL menunjukkan sejumlah 78 peratus daripada saiz sampel pengundi dalam soal selidik yang dijalankan mengatakan, integriti dan salahguna kuasa pemimpin BN memberi kesan kepada sokongan pengundi dalam pilihan raya umum, namun ini ada hanyalah masalah persepsi yang telah dicorakkan dalam pemikiran rakyat oleh pembangkang.

Akhirnya rakyat akan menunjukkan kematangan di peti undi bila mana mereka mampu membandingkan dengan fikiran dan hati yang terbuka kehidupan yang telah mereka nikmati sepanjang pemerintahan BN.

Mereka juga akan membandingkan janji-janji kosong pembangkang yang tidak mampu dilaksanakan serta lebih indah khabar dari rupa.

Hasil kaji selidik Universiti Malaya itu yang menunjukkan 53 peratus masyarakat Cina masih �tidak pasti� untuk memilih parti mana pada PRU 13 juga seharusnya tidak perlu dibimbangi.

Pengundi Cina melihat politik sebagai satu bentuk perniagaan yang mengutamakan aspek keuntungan lebih daripada unsur yang lain.

Walaupun mungkin wujud beberapa isu yang menjadi kebimbangan kepada mereka, pengundi Cina perniagaan akan bertindak seperti peniaga yang akan memastikan kerajaan yang mereka pilih mampu memberi suasana perniagaan yang stabil, kompetitif dan aman daripada segala halangan yang membantutkan ekonomi mereka.

Pembangkang mungkin boleh bermulut manis menabur segala macam janji termasuk ada yang tidak masuk akal sama sekali tetapi rakyat akan tetap memilih BN yang rasional, komited, berwawasan serta sentiasa menepati janjinya.

25 Jan 2013

Pembangkang Mahu Ibrahim Ali Dipenjarakan Kerana Pertahan Islam

Riuh rendah para pemimpin pakatan pembangkang mencemuh kenyataan Presiden perkasa, Ibrahim Ali berhubung saranannya supaya dibakar kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah s.w.t dan kini sedang giat disebarkan oleh golongan pendakyah Kristian kepada para pelajar Melayu Islam di Pulau Pinang.

Respon keras oleh Ibrahim itu ada asasnya, lebih-lebih lagi sudah lama umat Islam menahan sabar setelah bertahun-tahun isu kalimah Allah s.w.t telah dengan sengaja ditimbulkan oleh DAP dan para pendakyah Kristian dengan niat untuk merosakkan akidah umat Islam.

Hanya orang yang tidak beriman dari golongan munafikun sahaja yang tidak terasa keesaan Allah s.w.t dan tidak sensitif untuk mempertahankan kesucian kalimahNya dari dinodai oleh pendakyah agama lain.

Tapi agak menakjubkan bila mana ada juga kalangan pemimpin PAS yang tumpang sekaki mengkritik saranan Ibrahim Ali, kelihatannya seperti parti berlabel Islam itu lebih sensitif bila 'kesucian' Bible disentuh berbanding kesucian hakiki kalimah Allah s.w.t yang sedang cuba dinodai oleh DAP dan pendakyah Kristian.

Barangkali PAS sudah terlalu liberal dan kini telah bertukar kulit dari parti yang memperjuangkan hak agama Islam dan umatnya berubah menjadi parti pro Kristian pula. Besar kemungkinan itu kalau dilihat pada watak dan pembawaan ramai pemimpin PAS yang lebih sudu dari kuah berbanding sesetengah penganut Kristian.

Selain PAS, para pemimpin PR yang lain sama ada dari PKR mahupun DAP rata-ratanya bersungguh benar mengambil kesempatan dari kenyataan keras Presiden Perkasa berhubung kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible itu untuk menimbulkan kemarahan penganut Kristian.

Mereka cuba menimbulkan desakan dan tekanan supaya pihak berkuasa mendakwa Ibrahim di bawah Akta Hasutan sebagaimana digesa oleh Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee. Malah tidak kurang juga yang mahukan Kerajaan bertindak lebih tegas dengan memenjarakan sahaja Ibrahim kononnya atas kesalahan menimbulkan keresahan umum.

Bagi sesetengah penganut Kristian yang sememangnya totok DAP dan pro PKR tentu sahaja menyambut propaganda PR itu dengan telinga terbuka selanjutnya turut memanipulasi secukup rasa tanpa mempedulikan punca sebenar isu asalnya dari niat jahat golongan pendakyah Kristian sendiri.

Golongan sebegini hanya melihat isu dari perspektif kepentingan sendiri walhal sedari dulu lagi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunggak asas berdirinya negara ini telah memperuntukkan agama Islam adalah agama Persekutuan dan penganut Islam adalah dilindungi daripada sebarang dakyah agama lain.

Persoalannya kenapa selepas PRU 12 2008, hanya dek kerana PR beroleh sedikit kekuatan politik dan kuasa tiba-tiba sahaja segalanya mahu dilanggar dan persetujuan bersama yang sekian lama dipatuhi kini mahu dicabar?

Kenapa bilamana Ibrahim Ali dan Perkasa bersuara mempertahankan Islam maka ia dianggap sebagai hasutan sedangkan kelancangan mulut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta pendakyah Kristian cuba menodai kesucian kalimah Allah s.w.t tidak pula dikecam sama?

Kita percaya masih ada penganut Kristian yang terbuka mindanya dan melihat isu ini dari perspektif lain dan tidak mahu turut terjebak dalam mainan politik sempit yang dimulakan oleh gereja Kristian dan DAP. Jika benar demikian bangkitlah segera menolak dakyah-dakyah politik sempit itu demi kepentingan semua pihak

21 Jan 2013

Kalimah Allah: Hinanya Majlis Syura PAS Di Mata PR

Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh tanpa berselindung meneruskan asakannya kali ini dengan nada 'merayu' menuntut PAS supaya menarik balik keputusan Majlis Syura Ulama parti itu untuk menghalang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam khususnya dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Bunyinya seperti mendayu-dayu memujuk, tapi ramai yang faham itu hanya isyarat bernada 'lembut' yang jelas kehendaknya. Suka atau tidak, PAS terhimpit antara memartabatkan pendirian rasmi Majlis Syura ataupun mendahulukan kepentingan politiknya dalam PR.

Sebelumnya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah tampil dengan kenyataan tegas bahawa pakatan pembangkang, PR tetap kekal dengan keputusan Majlis Pimpinan Tetinggi PR pada 8 Januari 2013 yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible.

"Kami terikat dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat yang telah dibincangkan semasa mesyuarat. Dan kerana terikat kepada dasar-dasar itu, kami akan berpegang kepada keputusan itu. Majlis Syura (Pas) tidak berkaitan dengannya," kata Azmin dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada 17 Januari lepas.

Demikian hinanya kedudukan Majlis Syura Ulama PAS di mata PKR, sedangkan sebagai rakan sepakatan sepatutnya PKR dan DAP perlu belajar menghormati rakan sendiri sekalipun mereka sudah masak sangat dengan sikap lalang PAS yang kerap berubah pendirian mengikut kehendak politik kepartian.

Jika dilihat dari segi struktur organisasi PAS, kedudukan Majlis Syura adalah yang tertinggi dalam parti berlabel Islam itu. Seandainya PAS mendominasi pengaruh dan kedudukannya dalam PR, tentunya desakan mendayu dari DAP dan kenyataan tegas yang memperlekehkan taraf Majlis Syura oleh PKR tidak akan timbul.

Tapi disebabkan kedudukan PAS dalam PR sekarang hanyalah setaraf balaci yang terdesak mahu mencapai angan-angan untuk sama-sama ke Putrajaya bersama PR, maka senanglah DAP dan PKR memanfaatkannya untuk kepentingan mereka.

Lagipun Karpal Singh dan Azmin Ali yang diketahui ramai adalah suara rasmi PR dalam isu-isu sensitif, kedua-duanya amat faham benar selagi PAS kekal bersama PR, mahu tidak mahu PAS perlu menurut keputusan muktamad yang telah lama dipersetujui.

Kalau PAS benar-benar jantan dan bermaruah, sudah lama mereka tinggalkan PR dan tidaklah termalu sendiri dengan pendirian flip flop Mursyidul Am dan Presiden PAS sekejap patuh kehendak PR dan kemudiannya bila teruk dikecam khalayak barulah menyerahkan keputusan selanjutnya kepada Majlis Syura pula.

Antara kemahuan politiknya utk kekal dengan PR dan kesucian kalimah Allah s.w.t yang wajib dipertahankan, telah meletakkan PAS dalam keadaan tersepiot dan terhimpit. Inilah bahananya apabila satu kerjasama politik yang longgar hanya ditemukan dengan titik persamaan berkongsi musuh yang sama sahaja.

Tatkala kerjasama dalam BN wujud demi membangunkan negara & rakyat, PR pula yang menggabungkan DAP, PKR dan PAS atas asas rapuh seringkali diselubungi isu-isu yang tidak berkesudahan dan masing-masing pula langsung tiada sikap hormat menghormati sesama sendiri.

Bila sudah demikian, tak sukar untuk rakyat jangkakan yang negara ini akan berantakan sepanjang masa sekiranya PR diberi peluang walau sepenggal pun untuk memerintah tanahair tercinta ini.

12 Jan 2013


Agenda DAP Untuk Kristiankan Malaysia Hampir Berjaya

Apabila DAP bertekak menegaskan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular, agenda sebenar mereka terserlah iaitu menghapuskan klausa Islam sebagai agama rasmi negara di dalam perlembagaan.  Ini bermakna, keutamaan yang diberikan kepada agama Islam dari segi dakwah, penyebaran serta infrastruktur dan pembangunan akan turut terhapus.  

Secara automatik, agama-agama lain akan mendapat hak sama rata dengan Islam dan gejala murtad tidak lagi dapat dikekang.   

Masih ramai di kalangan umat Melayu yang mudah terpedaya dengan momokan bahawa ini semua hanyalah propaganda UMNO. 

Kebanyakan mereka sukar menerima soal ‘agama’ menjadi agenda utama DAP kerana setakat yang mereka tahu, kaum Cina tidak begitu ekstrem dalam beragama.  Malah, ramai di antara mereka tidak mengamalkan pun ajaran agama mereka, seperti bersembahyang.    Selain itu, masyarakat Malaysia juga masih lagi cenderung mengaitkan kaum Cina dengan agama Buddha sepertimana India dengan Hindu.  

Justeru, ramai yang merasa ragu mengenai kaitan DAP dengan gejala murtad yang didalangi Kristian.    

Hakikatnya,  kaum Cina dan juga India yang memilih Kristian sebagai pegangan semakin meningkat di Malaysia.  Apa jua alasannya, iaitu sama ada mereka memilih Kristian kerana benar-benar percaya dengan ajarannya, atau sekadar satu ‘escapism’ dari masalah kasta sepertimana prasangka ramai,  ataupun sebagai satu simbol ‘status’ kerana masih terbelenggu dengan pemikiran mendewakan apa saja yang dibuat oleh orang-orang barat serta ingin turut menyambut Krismas, melalui upacara perkahwinan cara barat dan mempunyai nama barat yang dilihat sebagai glamour akibat terpengaruh oleh TV dan filem, adalah tidak penting untuk dipastikan.

Tidak seperti Islam yang tidak membezakan kaum dan meletakkan semua umat Islam sebagai sama dan bersaudara, Kristian pula menyaksikan gereja yang berbeza bagi kaum Cina dan India seperti juga kaum kulit hitam dan kulit putih di barat yang merasa janggal untuk ke gereja yang sama.   

Bagaimanapun, kaum Cina jarang mengumumkan agama mereka tetapi ramai yang menyangka bahawa kaum Cina yang memakai nama barat kemungkinan besarnya beragama Kristian.   Memandangkan pemimpin tertinggi DAP tidak memakai nama barat, maka keraguan masyarakat mengenai penglibatan mereka dalam kes murtad mudah difahami.  

Mungkin kerana itulah maka para penulis blog berbangsa Cina gemar mendesak pemimpin atasan DAP agar mengumumkan agama mereka.   Apa yang diisyaratkan oleh para blogger ini ialah, pemimpin atasan DAP berselindung di sebalik nama Cina walaupun mereka sebenarnya Kristian demi memastikan sokongan berterusan dari kaum Cina ‘ortodoks’ iaitu yang berpegang teguh kepada budaya, bahasa dan agama asal nenek moyang mereka.   Dengan tidak memakai nama barat juga memudahkan mereka untuk mengaburi rakyat mengenai agenda Kristian yang diperjuangkan mereka.  

Agenda Kristian DAP, seperti yang telah terdedah, berpusat di Subang Jaya.   Kumpulan ‘pendakwah’ atau penipu ini beroperasi dengan cara menghulurkan bantuan sebelum mengumpan sasaran mereka untuk ke gereja.  Antara yang telah menjadi mangsa dimurtadkan, mendedahkan bagaimana mereka ‘dipegang’ sehingga merasa terhutang budi dan wajib membayar budi para pendakwah itu dengan memeluk Kristian.    

Puak Kristian ini beroperasi secara tersusun dengan dana disalurkan dari sebuah pusat pentadbiran yang lengkap.   Dengan memanggil diri mereka ‘Evangelist’ atau pendakwah, menunjukkan yang mereka bermazhab Protestant iaitu mazhab yang paling banyak melalui reformasi dan mempunyai berbagai-bagai versi serta mengambil sikap berbeza dengan mazhab katholik yang mengiktiraf darjat tertinggi Pope, atau mazhab orthodox yang lebih dekat dengan Kristian asal iaitu agama Nasrani.   

Salah satu laporan dari laman AsiaOne Singapura bertarikh 27 Jun 2012 mendedahkan beberapa transaksi kewangan yang meragukan yang melibatkan gereja di Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Kebajikan negara tersebut:

1.       ‘Derma’ berjumlah S$2.1 juta bagi “Projek Menyeberang” (Crossover) atau lebih tepat memurtadkan – dipindahkan dari Amerika Syarikat ke Gereja City Harvest di Subang Jaya, dalam jangka masa Diseember 2007 – May 2010.  

 

2.       ‘Derma’ ini kemudiannya dipindahkan ke ‘akaun pelbagai’ juga untuk ‘Projek Menyeberang’ ini.  Dalam bulan April 2007 – Mac 2010 sejumlah lebih kurang S$600,00 dan USD3 juta masing-masing digunakan untuk perbelanjaan En. Kong Hee dan isterinya Ho Yeow Sun yang mana kebanyakan ahli gereja tidak tahu menahu mengenainya.  

 

3.      ‘Derma’ untuk dana pembinaan gereja berjumlah S$600,000 dipindahkan ke akaun pelbagai untuk projek yang sama.   

DAP telah terbukti merupakan antara anggota penting yang memberikan naungan kepada puak evangelists ini yang berpusat di Subang Jaya.    

Pemimpin DAP, antaranya, Hannah Yeoh didedahkan telah menyumbang dana dari DUNnya kepada beberapa pertubuhan Kristian antaranya RM3,000 – Kingdom Christian Fellowship Bhd pada 13 Oct 2011, RM2,500 – Subang Jaya Assembly of God pada 12 May 2011, RM5,000 – Evangelical Free Church Gospel Centre pada 17 Jan 2012 dan RM5,000 - Pusat Subang Jaya Pastors Fellowship pada 2010.

Apabila kes murtad pertama kali menjadi heboh, Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa antara yang paling lantang menyuarakan kebimbangan dengan kegiatan gereja di Subang Jaya.   Pemimpin-pemimpin DAP termasuk di peringkat atasan pantas turun membela dan memberi sokongan kepada gereja hampir dalam kadar segera.  

Tidak lama kemudian, kita menyaksikan bagaimana Hasan Ali dipecat dari PAS dan ‘bintang’ Nasharuddin juga merudum.  

Pendedahan lanjut dibuat oleh beberapa blog mengenai ikrar yang dibuat oleh DAP di dalam sebuah majlis yang menampilkan tokoh-tokoh Kristian di rantau ini, untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.   Ikrar tersebut dilihat konsisten dengan desakan Lim Guan Eng dalam perutusan Krismasnya untuk meneruskan perjuangan menggunakan kalimah Allah dalam kitab Kristian.  

Jelas, bahawa agenda Kristianisasi dengan isu Injil berbahasa Malaysia serta penggunaan kalimah Allah di dalam risalah dan kitab agama Kristian, kes murtad, hubungan pemimpin DAP dengan gereja serta perutusan Krismas Guan Eng adalah isu yang berkait dan berangkai. 

Ini bermakna, ia bukan satu paranoia umat Islam UMNO yang tidak berasas tetapi sahih sehinggakan para blogger bukan Islam dan bukan Kristian juga turut menghidunya.    Yang tidak berasas dalam isu ini hanyalah tindakan umat Islam di dalam PAS menyokong, membela dan berdegil untuk terus bekerjasama dengan puak evangelists, bergandingan tangan menuju ke Putrajaya dan duduk bersebelahan di singgahsana.   

Atas bantuan PAS inilah maka agenda Kristianisasi DAP nampaknya hampir berjaya

2 Jan 2013

FATWA SELEWENG HADI KINI MAKAN DIRI AKAN

Alam semesta ini penuh dengan elemen metafizikal atau sesuatu yang tidak mampu dilihat oleh pancaindera mata.

Satu aspek pergerakan alam yang dicipta Tuhan ialah apa yang dikenali sebagai 'cause and effect' atau sebab dan akibat.

Setiap kehidupan manusia yang dianugerahkan akal tidak boleh lari dari prinsip sejagat ini.

Umpamanya jika seseorang itu melakukan dosa, samada kecil atau besar, prinsip sebab dan akibat ini akan bergerak di mana lambat laun individu yang terbabit akan melihat kesannya.

Begitu juga dengan halnya dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan satu buku kecil dipanggil 'Amanat Haji Hadi pada tahun 1981, iaitu hampir 31 tahun lalu.

Antara lain buku bersaiz poket ini menyelar dan mengecam prinsip perjuangan UMNO dan perlakuan anggota UMNO.

Amanat yang dibukukan adalah ringkasan daripada beberapa siri ceramah berhubung akidah dan iman yang disampaikan oleh Abdul Hadi di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.

Pada ketika itu Abdul Hadi baru berusia sekitar 34 tahun dan menyandang jawatan Naib Presiden Pas.

Beliau ketika itu dilihat sebagai bintang baru Pas yang sedang meningkat dan  membawa semangat berkobar-kobar menyemarakkan api perjuangan dalam sanubari ahli-ahli parti.

Isu yang menjadi senjata paling ampuh untuk terus mendaki tangga kuasa di dalam Pas tidak lain tidak bukan ialah dengan mengeksploitasi isu musuh ketat Pas iaitu UMNO.

Antara bahagian buku itu yang paling kontroversi ialah serangan Abdul Hadi terhadap keislaman UMNO dan akidah Islam yang dipegang oleh ahli-ahli UMNO.

Abdul Hadi menuduh UMNO adalah sebuah parti asabiyah yang hanya mementingkan bangsa Melayu di dalam perjuangannya dan Pas satu-satunya parti Islam yang tulen.

Natijah daripada rumusan beliau yang menyifatkan UMNO telah menyimpang daripada Islam, Abdul Hadi membuat beberapa kesimpulan yang sungguh merbahaya kepada perpaduan umat Melayu dan Islam di negara ini.

Dengan berbekalkan segulung ijazah sarjana dari Universiti Madinah, Arab Saudi yang terkenal dengan fahaman wahabiyahnya, beliau antara lain mendakwa jika mana-mana ahli Pas mati dalam perjuangannya melawan UMNO, kematiannya adalah mati syahid dan syurga adalah balasan tertinggi bagi pengorbanan itu.

Banyak lagi yang diharamkan oleh Abdul Hadi berkaitan UMNO termasuk tidak sah bersolat di belakang imam yang menjadi ahli UMNO, tidak sah pernikahan yang dilangsungkan oleh kadhi ahli UMNO, sembelihan orang UMNO haram dimakan, makanan orang UMNO tidak bersih dan banyak lagi fatwa-fatwa mengarut pemimpin Pas muda ini.

Berlaku perpecahan amat dahsyat dalam masyarakat Melayu dan Islam selepas 'Amanat Haji Hadi' disebar luarkan termasuk dikalangan pelajar-pelajar di universiti tempatan dan luar negara.
Sebahagian pelajar-pelajar Melayu yang dihantar ke luar negara di atas tajaan dan biasiswa kerajaan bertukar kepada golongan fanatik yang menjadi pengikut setia Abdul Hadi.

Di dalam negara berlaku solat dua imam, surau berasingan untuk jemaah UMNO dan Pas, malah kematian orang UMNO tidak mahu disolatkan atau dikebumikan oleh ahli Pas.

Kemuncak kesan daripada fatwa seleweng yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi dilihat dalam insiden Memali pada 19 Nov 1985 yang berlaku di Kampung Memali, Mukim Siong, Baling, Kedah.
Aktivis Pas, Ibrahim Libya bersama sekumpulan termasuk wanita, warga emas dan kanak-kanak mengangkat senjata untuk melawan pihak keselamatan yang telah mengepung rumah tempat persembunyian mereka.

Misi utama pihak polis ialah untuk menangkap Ibrahim di bawah Akta Keselamatana Dalam Negeri kerana dituduh mengancam keselamatan negara serta melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki pihak berkuasa.

Pertembungan antara Ibrahim serta kumpulannya dan pihak polis berakhir dengan kematian 14 individu termasuk Ibrahim sendiri serta kecederaan pada anggota polis.

Kini isu kafir mengkafir kembali menghantui Abdul Hadi, seperti dosa yang dilakukan kembali mengganggu jiwa seseorang yang bersalah.

Sejak lebih tiga minggu, Presiden Pas itu didesak pelbagai pihak termasuk bekas ahli Pas supaya memberi penjelasan kepada umat Islam serta menarik balik fatwa beliau itu, namun Abdul Hadi terus membisu seperti patung.

Samada beliau sekarang sudah sedar penyelewengan yang dilakukan ke atas akidah umat Islam tetapi tidak berani tampil ke depan membuat pengakuan atau Abdul Hadi ditekan supaya terus dengan pendiriannya.

Nampaknya Abdul Hadi tidak berani melawan cakap Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat yang mahu beliau terus berpegang kuat kepada amanatnya.

Jika ini berlaku bermakna Abdul Hadi meletakkan kepentingan politik dan ketakutan kepada manusia jauh lebih tinggi daripada musibah yang berlaku kepada umat Islam apatah lagi hukuman Tuhan yang menantinya.